GEORGE TOWN – Tiada nas daripada al-Quran atau hadis yang mengehadkan tempoh tertentu bagi bacaan qunut nazilah dan bergantung kepada selama mana sesuatu bencana itu berlaku.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, qunut nazilah harus dilakukan lebih daripada sebulan mengikut situasi bencana yang berlaku dan bacaannya disyariatkan di dalam semua solat lima waktu kecuali solat Jumaat.
Menurutnya, ini kerana ramai ulamak mengatakan yang solat Jumaat sudah memadai dengan doa yang dibaca di dalam khutbah.
“Qunut nazilah disyariatkan agar dibaca semasa i’tidal selepas ruku’ rakaat terakhir iaitu apabila berlaku bencana atau musibah yang meliputi ramai umat Islam (bukan dalam kes individu). Contohnya seperti berlaku gempa bumi, wabak penyakit, kemarau panjang, peperangan dan sebagainya.
“Di dalam qunut nazilah, imam boleh membaca apa jua doa yang sesuai dengan bencana atau musibah yang dihadapi dan diaminkan oleh para makmum. Qunut nazilah harus dilakukan lebih daripada sebulan mengikut situasi.
“Jika bala bencana itu berterusan maka qunut nazilah juga harus diteruskan,” katanya di sini, semalam.
Dalam pada itu, katanya, tindakan Nabi yang mengehadkan bacaan qunut nazilah selama sebulan adalah kerana bencana yang dihadapi ketika itu telah berakhir.
Terdahulu, pada 9 Januari lalu, media melaporkan seluruh masjid di Pahang diarahkan menghentikan sementara doa qunut nazilah ketika solat fardhu kepada penduduk Palestin.
Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Othman berkata, ia selaras dengan sunnah Rasullah SAW yang hanya mengamalkan doa tersebut selama sebulan.
Bagaimanapun, Wan Salim berkata, di dalam situasi kini, imam boleh memohon bantuan Allah SWT terhadap umat Islam di Gaza dan Palestin supaya dikalahkan musuh mereka, penjajah Zionis. – KOSMO! ONLINE