KANGAR – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar melupuskan daun dan cecair ketum dianggarkan bernilai RM5.748 juta yang dirampas dalam tempoh empat tahun iaitu antara 2018 hingga tahun lalu.
Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, berdasarkan rampasan bagi tempoh tersebut, sebanyak 729 kes adalah di bawah IPD Padang Besar, manakala 1,380 kes melibatkan tangkapan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA).
“Bagi tempoh tersebut, sebanyak 494,638 kilogram (kg) daun ketum dan 14,156 liter air ketum dirampas,” katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Trafik Daerah Padang Besar, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Muhammad berkata, seramai 37 individu warga tempatan dan sembilan warga asing berusia antara 19 hingga 41 tahun yang dipercayai terlibat dengan kegiatan membabitkan daun ketum ditahan.
Beliau berkata, terdapat beberapa lokasi hotspot yang aktif dengan kegiatan berkenaan dikenal pasti sekitar Padang Besar antaranya Wang Kelian, Titi Tinggi, Panggas, Beseri, Chuping dan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS).
Tambahnya, buat masa ini, harga jualan ketum juga semakin menurun dan dianggarkan bernilai RM10 bagi sekilogram.
“Kegiatan penyeludupan ketum ke negara jiran juga semakin berkurangan, namun kita masih kekal menjalankan pemantauan bagi mengesan pengedaran bahan terlarang itu secara domestik,” katanya. – KOSMO! ONLINE