LONDON – Nama bayi lelaki paling popular kekal Muhammad, manakala Olivia kembali menduduki tempat teratas kategori nama bayi perempuan di Britain pada tahun ini, lapor laman keibubapaan, Baby Centre seperti didedahkan portal berita MailOnline semalam.
Muhammad terus mengekalkan kedudukan teratas, diikuti oleh Noah, Theo, Leo, Oliver, Arthur, George, Luca, Freddie dan Jack.
Menurut BabyCentre, nama Harry jatuh dari tempat ke-13 kepada nombor 31, manakala Megan juga digugurkan dalam senarai popular nama bayi perempuan.
Sebelum ini, Harry menjadi popular selepas anakanda Raja Britain, Raja Charles III iaitu Putera Harry berkahwin dengan aktres Hollywood, Meghan Markle pada 2018.
Nama Amelia bagi bayi perempuan menduduki tempat kedua diikuti oleh Isla, Lily Ava, freya, Ivy, Sophia, Grace dan Willow.
Sebelum ini, laman keibubapaan itu mendedahkan data setengah tahunnya pada Julai lalu dan menyebut bahawa nama Lily adalah paling popular untuk bayi perempuan diikuti Sophia dan Olivia.
“Ibu bapa menghabiskan banyak masa memikirkan bukan sahaja tentang nama bayi mereka tetapi bagaimana ia dieja,” kata jurucakap BabyCentre, Faye Mingo. – AGENSI