KUALA KRAI – Seorang penunggang motosikal patah kaki kiri selepas dirempuh sebuah lori dalam nahas melibatkan tiga buah kenderaan di Kilometer 75, Jalan Kota Bharu – Gua Musang dekat Pahi di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.15 petang itu, lori jenis Isuzu Luton turut melanggar sebuah lagi lori dan sebuah rumah yang berada berhampiran lokasi kejadian.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Kamarulzaman Harun berkata, siasatan mendapati, lori terbabit sedang dalam perjalanan ke Kota Bharu.
Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, kenderaan tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan lalu merempuh sebuah lori jenis Isuzu Kargo dan sebuah motosikal yang berada di belakang lori tersebut.
“Insiden itu menyebabkan lori terbabit terbabas ke sebelah kanan dan merempuh sebuah rumah yang berada berhampiran lokasi kejadian.
“Pemandu lori jenis Isuzu Luton itu luka pada bahagian kepala manakala pemandu sebuah lagi lori mengalami kecederaan di bahagian mata, dahi dan lutut kanannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kamarulzaman memberitahu, penunggang motosikal itu pula patah kaki sebelah kiri dan kesemua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra di sini untuk rawatan lanjut.
“Siasatan mendapati, pemandu lori Isuzu Luton itu mempunyai lesen memandu dan cukai jalan yang sah tempoh,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE