fbpx

K2

Krisis di Gaza kian kritikal, Zionis guna peluru fosforus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk tempatan menyelamatkan mangsa di bawah runtuhan bangunan. – Gambar Fail

PADA 7 Oktober lalu, satu peperangan berdarah di Semenanjung Gaza, Palestin telah bermula sehingga berlakunya kemusnahan sistem kesihatan yang berterusan.

Hal ini kerana kebanyakan sasaran dalam konflik itu adalah orang awam yang diserang tanpa amaran.

Pihak media, ahli pertahanan awam dan pakar perubatan juga menjadi sasaran utama peperangan itu.

Selepas menerima amaran daripada tentera Israel untuk bergerak ke selatan, beberapa penduduk Palestin di Gaza telah meninggalkan rumah mereka.

Namun, terdapat berita bahawa mereka berada dalam bahaya akibat serangan udara Israel semasa perjalanan keluar.

Ada pula yang menuju ke utara kerana kebimbangan keselamatan dan kekurangan tempat tinggal di selatan akibat kesesakan.

Tambahan pula, pada awal peperangan, kepungan telah dilaksanakan dengan penutupan semua sempadan, termasuklah sempadan dengan Mesir atau Israel yang menyebabkan krisis kesihatan bertambah buruk.

Hospital di Semenanjung Gaza kini menggunakan penjana tambahan kerana mereka menjangka akan kehabisan bahan api dalam tempoh singkat.

Bahan-bahan yang diuruskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mula habis digunakan.

Bekalan segar dan bahan api diperlukan secepat mungkin bagi membantu pihak perubatan bertindak untuk menyelamatkan nyawa.

Mengikut laporan oleh Situasi Kesihatan dan Kemanusiaan di Gaza, statistik mangsa sentiasa berubah dan bertambah.

Setakat ini, lebih 10,000 mati syahid dan lebih 25,484 cedera. Malah, lebih 731 buah keluarga dilaporkan hilang di bawah runtuhan rumah yang dirobohkan akibat bedilan bahan letupan.

Ini berlaku ketika serangan udara, laut dan darat yang berterusan ke atas Gaza sehingga menyebabkan kemusnahan kawasan berpenduduk padat termasuk rumah, sekolah, kemudahan perubatan dan infrastruktur kesihatan awam.

Ini merupakan punca kepada peningkatan jumlah korban dengan cepat. WHO mengecam arahan Israel untuk mengosongkan 22 hospital di utara Gaza yang merawat lebih 2,000 pesakit dalam wad.

Pemindahan pesakit dan pekerja kesihatan secara paksaan memburukkan lagi krisis kemanusiaan dan kesihatan awam.

Kemudahan kesihatan yang terletak di wilayah utara Gaza kini menghadapi cabaran besar dalam menguruskan kapasiti pesakit.

Pada lewat malam 17 Oktober lalu, rakyat Palestin dikejutkan dengan serangan di salah sebuah hospital di utara Semenanjung Gaza (Hospital Al Ahli Arab) yang mengakibatkan kematian seramai lebih 500 orang.

Lebih dua pertiga daripada 423,000 orang terpaksa meninggalkan rumah dan berlindung untuk keselamatan di sekolah UNRWA (The United Nations Relief and Works Agency).

Namun begitu, sekolah-sekolah ini terlalu sesak kerana menerima lebih dua kali ganda kapasitinya.

Kementerian Kesihatan telah mengesahkan 24 institusi kesihatan yang terjejas, termasuk 16 hospital, enam kemudahan penjagaan kesihatan lain dan tiga hospital mengalami kemusnahan yang amat kritikal.

PENEMPATAN awam terus menjadi sasaran serangan rejim Zionis. – Gambar fail

Di Semenanjung Gaza, 48 serangan telah mengakibatkan 12 orang kakitangan penjagaan kesihatan terbunuh semasa bertugas, 20 cedera, 22 ambulans musnah dengan peningkatan jumlahnya setiap saat.

Kementerian Kesihatan mengesahkan sekurang-kurangnya tiga orang profesional kesihatan terbunuh. Bagaimanapun, siasatan menyeluruh masih dijalankan.

Kini, jumlah korban perang telah melebihi kapasiti dan sumber pasukan perubatan. Situasi di sana semakin teruk sehingga pasukan perubatan terpaksa melakukan pembedahan di koridor hospital tanpa bius kerana bilangan besar orang yang cedera.

Ramai individu memerlukan rawatan perubatan di luar negara atau di bahagian lain di kawasan Palestin yang diduduki.

Bagaimanapun, mereka memerlukan permit daripada pegawai Israel untuk keluar dari Semenanjung Gaza untuk mendapatkan rawatan.

Disebabkan kekurangan ubat-ubatan dan peralatan perubatan, hospital-hospital di Gaza amat terjejas dalam keupayaan mereka mendiagnosis dan merawat pesakit kritikal.

Penutupan sempadan akibat perang menghalang pesakit-pesakit ini daripada menerima rawatan sehingga mengancam nyawa mereka yang tercedera.

Di samping itu, keadaan ini memberi kesan kepada lebih 220 pesakit buah pinggang di Semenanjung Gaza yang bergantung nyawa kepada peralatan perubatan khusus.

Tambahan pula, sekatan rejim Zionis ke atas bantuan perubatan, memudaratkan lagi keadaan sehingga membawa kepada bencana manusia.

Biasanya, Gaza memperoleh air daripada pelbagai sumber, termasuk telaga, saluran paip dari Israel dan kemudahan penyahgaraman di Laut Mediterranean.

Apabila Israel menutup air akibat perang bersama-sama dengan bahan api dan tenaga yang menjana kuasa air serta loji kumbahan, bekalan tersebut telah berkurangan secara drastik.

Bekalan air Gaza yang terhad dan kekurangan air bersih di Semenanjung Gaza memberi kesan besar terhadap kesihatan manusia sehingga Kementerian Kesihatan di Gaza meminta pengukuhan usaha pengawasan serta kawalan untuk penyakit berjangkit.

Kerosakan infrastruktur air dan sanitasi serta kesesakan di penempatan orang yang berpindah meningkatkan risiko wabak penyakit.

Selain mengalami kekurangan bekalan makanan, terdapat kesusahan dalam mendapatkan air minuman yang boleh mengancam nyawa penduduk Semenanjung Gaza.

Terdapat puluhan mayat yang tidak dikenali dikebumikan dalam kubur besar di bandar Gaza. Langkah ini diambil memandangkan pengumpulan berpuluh-puluh mayat yang belum dikenal pasti.

Perlu diingat bahawa peti sejuk untuk menyimpan mayat telah penuh dan terdapat kebimbangan akan terputusnya bekalan elektrik kerana kekurangan bahan api mencukupi untuk membekalkan elektrik.

Sementara itu, rejim Zionis menggunakan peluru fosforus dan senjata kimia lain dalam peperangannya di Semenanjung Gaza.

Penggunaan senjata fosforus menyebabkan kebakaran dan kecederaan teruk kepada orang awam dan infrastruktur serta memberi kesan teruk kepada alam sekitar.

Senjata fosforus boleh menyebabkan luka terbakar yang teruk apabila fosforus putih bertindak balas dengan oksigen di atmosfera.

Fosforus putih mengandungi sebatian kimia toksik yang boleh memasuki tubuh manusia melalui pernafasan atau penyedutan.

Pendedahan berlebihan kepada bahan toksik ini boleh menyebabkan keracunan dan gejala seperti kesukaran bernafas, loya, muntah dan pening.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI