BRUSSELS – Situasi di Semenanjung Gaza adalah malapetaka dahsyat dengan kemusnahan berlaku lebih teruk daripada yang menimpa Jerman semasa Perang Dunia Kedua, kata diplomat tertinggi Kesatuan Eropah (EU), Josep Borrell kelmarin seperti laporan portal berita The New Arab.
Borrell berkata selepas mempengerusikan mesyuarat menteri-menteri luar EU, perang Israel ke atas wilayah Palestin itu mengakibatkan bilangan kematian luar biasa dalam kalangan penduduk awam.
“Kemusnahan infrastruktur di Semenanjung Gaza adalah lebih kurang atau lebih dahsyat daripada kemusnahan yang dialami di bandar-bandar Jerman semasa Perang Dunia Kedua,” kata Borrell.
Beliau berkata, EU juga cemas dengan keganasan berleluasa di wilayah Tebing Barat oleh peneroka haram Yahudi dan mengutuk keputusan kerajaan Israel meluluskan 1,700 lagi unit rumah haram di kota Baitulmuqaddis.
Brussels menganggap keputusan Tel Aviv itu sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa.
Serangan tentera Israel yang tidak henti-henti menyebabkan hampir semua bangunan di Semenanjung Gaza runtuh, manakala lebih 18,000 penduduknya terbunuh, ramai daripada mereka ialah wanita dan kanak-kanak.
Semasa mengecam serangan mengejut Hamas pada 7 Oktober lalu, Borrell menjelaskan bahawa beliau melihat operasi ketenteraan Israel sebagai tidak seimbang dari segi kematian orang awam dan kerosakan harta benda serta infrastruktur awam.
“Penderitaan manusia di Gaza merupakan cabaran yang tidak pernah berlaku sebelum ini kepada masyarakat antarabangsa.
“Kematian orang awam adalah antara 60 dan 70 peratus daripada keseluruhan kematian (di Gaza),” katanya.
Ia adalah berdasarkan kepada angka yang diberikan Kementerian Kesihatan Gaza dan 85 peratus daripada penduduk terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing.
Borrell berkata, beliau telah membentangkan kertas perbincangan kepada menteri-menteri luar EU supaya meneliti tentang pelaksanaan sekatan terhadap peneroka ekstremis Yahudi di Tebing Barat yang telah meningkatkan serangan terhadap penduduk Palestin.
Menurutnya, beliau akan membuat cadangan rasmi itu tidak lama lagi, berdasarkan inisiatif yang diambil oleh Amerika Syarikat (AS) pada minggu lepas bahawa Washington akan membekukan visa kepada peneroka haram Yahudi yang berfahaman melampau.
Bagaimanapun, katanya, masih belum ada keputusan sebulat suara dalam kalangan 27 negara anggota EU mengenai isu tersebut. – AGENSI