KUALA NERUS – Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar bimbang kenyataan veteran DAP, Lim Kit Siang yang menyentuh kemungkinan bukan Melayu dilantik sebagai Perdana Menteri akan menggugat keharmonian negara.
Menteri Besar Terengganu itu berpendapat, Kit Siang tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian.
Ahli Parlimen Kemaman tersebut berkara, siasatan polis terhadap bekas Setiausaha Agung DAP itu wajar bagi memelihara keamanan dalam kalangan rakyat.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah memanggil beliau (Kit Siang) untuk disoal siasat, jadi serahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil langkah agar keharmonian dimiliki tidak dicabar.
“Sebarang suara yang boleh menganggu dan menggugat keharmonian, kalau boleh kita tidak mahu dengar,” katanya ditemui ketika meninjau persiapan MiniGP Dunia di Litar Permotoran Terengganu di sini hari ini.
Kit Siang sebelum ini disiasat berhubung kandungan penulisannya yang menyentuh isu Perlembagaan berkaitan pelantikan Perdana Menteri Malaysia yang dimuat naik menerusi blognya pada 30 November lalu.
Bekas Ahli Parlimen Gelang Patah itu turut dikatakan membuat ucapan sama di hadapan pelajar Malaysia di Manchester, United Kingdom sehari sebelumnya.
Beliau telah dipanggil untuk membero keterangan selama dua jam berhubung kes itu di Balai Polis Sea Park, Petaling Jaya hari ini. – KOSMO! ONLINE