PUTRAJAYA – Barisan Kabinet baharu pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilantik semalam akan kekal sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Anwar berkata, tidak perlu ada perubahan dalam Kabinet pada tahun-tahun mendatang jika kepimpinan baharu mempamerkan prestasi baik, tiada tekanan atau permasalahan baharu.
“Saya harap, Insya-Allah kalau keadaan prestasi baik, memuaskan dan tidak ada permasalahan baharu seperti digital, saya fikir tidak akan ada perubahan (rombakan Kabinet).
“Terus ada rencana empat tahun akan datang sehingga PRU16,” katanya pada sidang akhbar khas rombakan Kabinet di Bangunan Perdana Putra, di sini semalam.
Barisan Kabinet 2023 terus dimantapkan menerusi penstrukturan semula kepimpinan yang menyaksikan pelantikan baharu dan sedia ada sebanyak 31 barisan Jemaah Menteri melibatkan 30 kementerian.
Menerusi rombakan baharu itu, kepimpinan Kerajaan Perpaduan menyaksikan jumlah keseluruhan meningkat daripada 55 kepada 60 orang yang mana disifatkan masih rendah jika dibandingkan dengan 70 orang pada pentadbiran sebelum ini.
Dalam konteks ini, jumlah menteri meningkat daripada 28 kepada 31 orang, manakala timbalan menteri meningkat daripada 27 kepada 29 orang.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, keputusan menstruktur semula Kabinet dibuat bagi menyesuaikan keadaan dan tuntutan semasa termasuk dari aspek perubahan pertumbuhan ekonomi dan permasalahan rakyat seperti peningkatan kos sara hidup.
“Setelah kita menyempurnakan tugas sebaik mungkin, setelah satu tahun membuka tirai dan sekarang kita cuba membawa sedikit penyesuaian dan perubahan yang diperlukan.
“Keadaan juga berubah bukan sahaja berdasarkan prestasi lalu, tetapi dari segi pertumbuhan ekonomi dan permasalahan rakyat termasuk kos sara hidup yang harus ditangani dengan baik.
“Ia juga (melibatkan) penerimaan di peringkat antarabangsa yang meletakkan tugas Kementerian Luar berubah, kemudian isu pendidikan, pendidikan tinggi terutamanya dalam usaha meneroka bidang baharu seperti kecerdasan buatan serta transformasi digital,” ujarnya.
Anwar yang juga kekal sebagai Menteri Kewangan berkata, perbincangan berhubung penyesuaian itu telah dibuat bersama ketua parti komponen utama dalam Kerajaan Perpaduan.
Menerusi rombakan itu, empat kementerian baharu yang diwujudkan ialah Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
Ia turut melibatkan pembentukkan dua kementerian baharu yang dipecahkan daripada portfolio sebelum ini iaitu Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam akan dipimpin oleh Datuk Seri Fadillah Yusof yang turut memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri selain menjadi menteri bertanggungjawab terhadap hal ehwal Sabah serta Sarawak.
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kekal sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah selain turut memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Lima menteri baharu juga dilantik iaitu Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.
Pelantikan itu turut melibatkan Menteri Digital, Gobind Singh Teo dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang dilantik Senator untuk memegang portfolio Menteri Kewangan Dua.
Kesemua lantikan baharu itu telah mengangkat sumpah jawatan dalam Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan di Istana Negara semalam.
Kabinet 2023 turut menyaksikan seorang menteri dan dua timbalan menteri digugurkan.
Ia melibatkan, V. Sivakumar yang menyandang portfolio Menteri Sumber Manusia, manakala dua timbalan menteri iaitu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh dan Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Siti Aminah Aching.
Dalam pembentukan Kabinet baharu semalam, tempat Sivakumar diganti oleh Steven Sim Chee Keong.
Kedudukan Ramkarpal pula digantikan oleh M. Kulasegaran, manakala Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin mengambil alih tempat Siti Aminah.