BANGKOK, Thailand – Polis di bandar Ubon Ratchathani, wilayah Isaan menyelamatkan seorang gadis berumur 21 tahun yang dipercayakan oleh sindiket pengubahan wang haram, lapor laman berita Thaiger semalam.
Ibu mangsa pada awalnya menghubungi Balai Polis Mueang Ubon Ratchathani dan melaporkan bahawa anak perempuannya yang bernama Su telah diculik, manakala suspek meminta wang tebusan berjumlah 250,000 baht (RM32,916).
Wanita itu berkata, dia sempat bercakap dengan anak perempunnya sebanyak tiga kali dan penculik meminta wang pendahuluan sebanyak 30,000 baht (RM3,950). Katanya, mangsa akan diperkosa sekiranya permintaan tersebut tidak dipenuhi.
Polis yang melancarkan siasatan, mendapati Su menyewa bilik di sebuah hotel tempatan. Apabila menyerbu bilik tersebut, Su didapati sedang berbual menerusi telefon bersama suspek dan panggilan itu segera diputuskan.
Semasa soal siasat, Su mendedahkan bahawa seorang ‘pegawai pos’ telah menghubunginya pada 9 Disember lalu mengenai sebuah bungkusan.
Su dituduh terlibat dengan kumpulan pengubahan wang haram kerana bungkusan itu mengandungi pasport asing, lima kad debit, lima kad akaun bank asing dan satu kad akaun bank miliknya.
Pegawai pos itu kemudian meminta Su bercakap dengan seorang pegawai polis palsu. Polis palsu itu meminta Su mematuhi arahan mereka untuk membersihkan namanya dengan menipu bahawa dia telah diculik.
Su kemudian diselamatkan oleh polis dan diserahkan kepada keluarganya. – AGENSI