fbpx

Bergantung mesin oksigen, tidak patahkan semangat Ashnawi genggam ijazah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMMAD Ashnawi Azmi ketika ditemui selepas menerima Ijazah Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa pada Majlis Konvokesyen USIM Ke-21 di Nilai, Seremban hari ini.

SEREMBAN – Walaupun terpaksa bergantung kepada saluran mesin oksigen seawal usia dua tahun, namun ia tidak menjadi penghalang buat Muhammad Ashnawi Azmi untuk mendapatkan segulung ijazah demi masa depannya.

Graduan berusia 27 tahun itu menerima Ijazah Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa dari Fakulti Syariah Undang-Undang pada Majlis Konvokesyen Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Kali Ke-21, yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor USIM, di sini hari ini

Muhammad Ashnawi yang berasal dari Seri Kembangan Selangor memberitahu, sejak usia dua tahun lagi dia terpaksa bergantung kepada saluran mesin oksigen akibat menghidap penyakit paru-paru kronik atau chronic obstructive pulmonary disease.

“Sehingga ke hari ini saya menggunakan mesin oksigen sepanjang masa bagi meneruskan kehidupan dan walaupun begitu, ia tidak mematahkan semangat saya untuk berjuang menuntut ilmu,” katanya ketika ditemui.

Mengimbas kembali sepanjang tempoh pengajian, Muhammad Ashnawi berkata, dia pernah berhadapan dengan pelbagai dugaan termasuklah mengalami koma ketika tidur selama sebulan.

“Sebelum peperiksaan lalu, saya menghadapi situasi yang sama tetapi Alhamdulillah, ia tidak berpanjangan dan saya dapat menduduki peperiksaan dengan sempurna,” katanya.

Di samping itu, katanya, dia berpegang pada prinsip supaya melakukan sesuatu yang diingini sehingga dapat dicapai termasuk dari segi cita-cita dan juga impian.

Muhammad Ashnawi dalam itu memberitahu, dia kini sedang bertugas dalam bidang guaman secara kontrak. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI