PETALING JAYA – Pasangan selebriti Ayda Jebat dan Nabil Mahir berkongsi berita gembira apabila selamat menimang cahaya mata kedua mereka iaitu bayi lelaki, semalam.
Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagram pasangan suami isteri itu, Ayda dan Nabil meluahkan rasa syukur apabila segala urusan menyambut kehadiran cahaya mata baharu itu dipermudahkan Allah SWT.
“Assalamualaikum semua. Alhamdulillah lahirnya putera kami pagi tadi (semalam. Syukur segalanya dipermudahkan. Terima kasih atas semua doa kalian.
“12.12.2023 (tiada jualan murah). Sekarang mommy dan dada sedang kembali ke dunia ‘zombi’ (berjaga malam),” kongsinya.
Ayda dan Nabil turut berkongsi sekeping foto memperlihatkan tangan comel bayi mereka sedang menggenggam erat jari ibu bapanya.
Dalam ruangan komen, kelahiran cahaya mata kedua pasangan itu turut disambut dengan gembira oleh rakan-rakan artis dan peminat yang meninggalkan ucapan tahniah.
“Alhamdulillah, tahniah,” ucap penyanyi Nabila Razali.
“Syukur alhamdulillah. Tahniah Ayda dan Nabil,” ujar pelakon dan pengacara Didie Alias.
“Tahniah atas kelahiran seorang bayi lelaki. Semoga ibu dan anak sihat,” ucap seorang pengikutnya dalam Instagram.
Terdahulu Ayda atau nama lengkapnya Nur Suhada Jebat, 31, mengumumkan bakal menimang cahaya mata kedua pada 25 Julai lalu ketika usia kandungannya mencecah lima bulan.
Ayda mendirikan rumah tangga dengan Nabil pada 1 Januari 2021 dan dikurniakan anak pertama, Ana Nayla, 2, pada 21 September tahun yang sama. – KOSMO! ONLINE