PETALING JAYA – Kumpulan AmBank akan meneruskan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Zoo Negara dengan memperbaharui penajaannya berjumlah RM100,000.
Ketua Komunikasi Korporat & Pemasaran Kumpulan AmBank, Shazman Shahid berkata, sumbangan itu memberi tumpuan kepada mengekalkan kebajikan dua ekor unta Dromedary.
Malah katanya, sejak 1985, AmBank melalui Yayasan AmGroup, telah menyumbang lebih daripada RM1 juta sebagai sokongan kepada unta di Zoo Negara.
“Selain itu, AmBank telah memperluaskan inisiatif CSR merangkumi Zoo Melaka, di mana 100 warga kerja dari AmBank Wilayah Selatan dan AmBank Wilayah Tengah secara aktif mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti.
“AmBank juga berbesar hati menjadi penaja bagi pemeliharaan dua ekor orang utan, Phat Phat dan Mardhia yang berjumlah RM40,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu katanya, antara aktiviti yang dilaksanakan di Zoo Melaka termasuklah program kebajikan haiwan, penanaman pokok dan melukis mural.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pembaharuan penajaan Zoo Negara dan penglibatan menyeluruh di Zoo Melaka mempamerkan keyakinan Ambank bahawa perbankan yang bertanggungjawab melangkaui transaksi kewangan.
Tambahnya, ia juga bagi memupuk dunia yang mampan untuk generasi yang akan datang.
“AmBank kekal berdedikasi untuk memupuk tanggungjawab terhadap alam sekitar dan kesejahteraan komuniti.
“Bank ini menyasarkan untuk meneruskan usaha kerjasamanya dengan Zoo Negara Malaysia dan Zoo Melaka, membangkitkan kesedaran dan secara aktif menyumbang kepada pemeliharaan hidupan liar dan kelestarian,” katanya. -KOSMO! ONLINE