fbpx

Angeline Tan kongsi momen indah, tenang tunai umrah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGELINE TAN yang kini berada di Tanah Suci Mekah kerana mengerjakan umrah berkongsi momen indah sewaktu berada di sana.

PETALING JAYA – Pelakon Angeline Tan berkongsi momen indah sewaktu pertama kali mengerjakan ibadah umrah di Tanah Suci Mekah bersama suaminya, Sabri Yunus.

Menerusi hantaran yang dimuat naik Angeline atau nama Islamnya, Ardini Angeline Tan, 56, dalam Instagramnya, pelakon yang baru bergelar mualaf itu mengabadikan momen-momen penuh makna ketika berada di beberapa lokasi wajib dalam kunjungan umrah, termasuk berlatarkan Masjid Nabawi di Madinah yang disifatkan bersih dan tenang.

“Solat di Masjid Nabawi. Walaupun di sini 24 jam penuh dengan ramai orang, tetapi suasana sangat bersih dan tenang,” tulisnya.

Dalam hantaran berbeza, pelakon yang popular menerusi sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu juga memberitahu sempat melakukan solat jenazah selepas selesai mengerjakan solat Subuh di masjid yang sama.

Kongsi Angeline lagi, ketika berada di Tanah Suci, dia menerima banyak kiriman doa daripada keluarga dan rakan-rakan yang memohon untuk mendoakan mereka supaya berpeluang menjejakkan kaki ke Tanah Suci, suatu hari nanti.

“Ramai yang kirim doa pada saya. Keluarga, kawan-kawan, rakan artis, kru yang sama-sama berjuang dan pengikut dalam Instagram.

“Saya janji, akan doa dan minta kepada Allah SWT. Insya-Allah, semoga semua sahabat sentiasa dilindungi dan akan dijemput menjadi tetamu-Nya.

“Semoga Allah makbulkan doa dan permintaan saya,” ujarnya.

Perjalanan Angeline ke Tanah Suci untuk mengerjakan umrah turut mendapat respons dan pujian daripada pengikutnya yang tumpang terharu Angeline yang baru memeluk Islam dikurniakan rezeki menjadi tetamu Allah.

Rata-rata menganggap Angeline sangat beruntung, kerana dipermudahkan urusan untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

“Alhamdulillah. Beruntungnya Angeline menjadi tetamu Allah,” ujar seorang pengikutnya.

“Doakan saya dan suami dapat tunaikan haji dan umrah. Dengan situasi kewangan sekarang, rasa macam mustahil. Tapi tiada yang mustahil bagi Allah SWT,” ujar seorang lagi pengikutnya.

Terdahulu, Angeline memeluk Islam pada 26 September lalu sebelum bernikah dengan pelakon dan juga pengarah, Sabri Yunus, 65, di Perlis pada 14 Oktober 2023. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI