SKUAD hoki remaja lelaki kebangsaan tidak ada cara lain selain merekodkan kemenangan ke atas Mesir hari ini sekiranya mahu menamatkan Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2023 di kedudukan terbaik.
Walaupun dijangka turun sebagai pasukan pilihan pada aksi penentuan tempat kesembilan hingga 16 itu, namun ketua jurulatih skuad hoki remaja negara, Muhamad Amin Rahim tidak mahu anak-anak buahnya berasa selesa.
Beliau memberi amaran kepada pemain-pemain negara bahawa Mesir merupakan pasukan yang memiliki kelebihan dari segi fizikal selain corak permainan agresif, sekali gus mampu memberi saingan sukar kepada Malaysia.
Justeru, Amin berharap skuad Young Tigers sudah bersedia sepenuhnya selepas berehat selama dua hari dan beliau berharap Malaysia boleh meleburkan semangat juang pasukan dari Afrika itu.
“Saya sentiasa yakin dengan kemampuan pemain-pemain negara, namun Mesir bukanlah lawan yang mudah. Kita perlu buat persediaan secukupnya kerana mereka ada kelebihan fizikal selain bermain agresif.
“Kita kena jaringkan gol jika mahu catat kemenangan dan juga lemahkan mental pemain-pemain mereka. Apabila mereka ketinggalan, kita ada kelebihan untuk kawal sepenuhnya permainan,” katanya.
Beliau sentiasa mengingatkan anak-anak buahnya bahawa saingan piala dunia sangat berbeza dengan kejohanan-kejohanan biasa kerana setiap pasukan yang ada memiliki peluang untuk mencatat kemenangan.
“Ini adalah saingan piala dunia, tidak ada satu perlawanan pun yang boleh dianggap sebagai aksi mudah. Siapa pun yang kita hadapi, kita perlu bersiap sedia dan keluarkan permainan sebenar.
“Menjelang pertemuan dengan Mesir nanti, kita perlu menang untuk memastikan peluang kita beraksi dalam perlawanan penentuan tempat kesembilan dan sepuluh,” ujar Amin.