PETALING JAYA – Kegembiraan satu keluarga untuk bermandi-manda di kolam renang sebuah resort di Terengganu bertukar ngeri apabila mereka diserang sekumpulan lebah selepas sarang serangga tersebut diganggu burung helang.
Pengalaman itu dikongsikan seorang ibu menerusi akaun TikTok ismahsyahirah yang memuat naik beberapa gambar dia bersama keluarganya mendapatkan rawatan di klinik selepas diserang lebah tersebut.
“Sebelum mari (datang) semua happy (gembira) sebab nak mandi kolam. Tiba-tiba bertukar kejadian, masa ni anak kena ketip, ingat semut. Makin lama makin ramai datang rupanya lebah datang serang.
“Berlari semua orang sambil nangis sakit minta tolong. Masa tu tengah dukung si adik sebab banyak sangat yang datang serang. Sambil lari jerit minta tolong, minta tolong ambil si adik.
“Nasib pak cik ni datang ambil selamatkan dia. Si kakak… mami tinggal je tadi sebab nak selamatkan adik. Kakak menangis sakit dan ada pak cik juga yang datang selamatkan dia. Sorry (maaf) kakak, mami tinggal lari,” katanya menerusi hantaran video kelmarin.
Wanita itu memberitahu, kesemua mereka kemudian ke klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan.
“Ni dalam perjalanan ke klinik sebab semua dalam kesakitan. Datang nak happy, tiba-tiba ke klinik. Masa ni sembur ubat untuk hilang rasa sakit.
“Alhamdulillah nasib semua okay lepas doktor bagi ubat, tapi masih trauma dengan baby (bayi) kecilnya. Kita yang besar ni pun menangis tadi sebab sakit,” katanya. – KOSMO! ONLINE
@ismahsyahirah Sakit wehhh,satu family kene serang,rupanya sarang dia kene serang di burung helang🥲 #fyp ♬ Sad and lonely – MoppySound