PETALING JAYA – Seorang kanak-kanak Palestin , Alaa, 7, menyimpan hasrat untuk memiliki tangan palsu sebagai menggantikan tangannya yang hancur akibat cedera parah selepas rumahnya dibom oleh rejim Zionis.
Kisah kanak-kanak itu dikongsikan wartawan Palestin, Hani Abu Rezeq menerusi hantaran di Facebooknya malam tadi.
Menurut Hani, Alaa terpaksa berdepan dua kali insiden bom apabila pada mulanya rumahnya di utara Gaza dibedil tentera Israel sehingga memaksa dia dan keluarga keluar berlindung di kem Al-Nuseirat sebelum tempat tersebut turut dimusnahkan dalam insiden serangan udara baru-baru ini.
Hani juga memuat naik rakaman kanak-kanak perempuan itu yang memaklumkan tentang kematian ahli keluarganya dan merayu bantuan orang ramai untuk membawa dia bersama bapanya keluar dari Gaza bagi mendapatkan rawatan susulan.
“Tangan saya dipotong, ayah saya cedera, datuk dan nenek saya mati syahid dan Beso juga menjadi syahid.
“Saya ingin memasang tangan sintetik. Bantu kami untuk keluar dari sini untuk dapatkan rawatan,” rayu Alaa.
Dalam pada itu, Hani berkata, bapa kanak-kanak tersebut, Ahmed juga berisiko untuk dipotong tangannya sekiranya lewat mendapatkan rawatan susulan selepas cedera teruk dalam insiden serangan tentera Israel.
“Bapanya, Ahmed, juga berisiko dipotong tangannya. Keluarganya segera merayu kepada dunia untuk membantunya keluar dari Gaza bersama bapanya untuk mendapatkan rawatan,” kongsinya.
Terdahulu, Kementerian Kesihatan Palestin menyatakan jumlah kematian akibat pertempuran di antara tentera Israel dan Hamas sudah menjangkau 17,997 individu, manakala seramai 49,229 orang tercedera.
Sementara itu, media tempatan melaporkan, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam mesyuarat tergempar lembaga pengarah di Geneva berkata, keadaan di Gaza ketika ini amat berisiko untuk penyebaran penyakit yang membawa maut.
Jelas beliau, mustahil untuk WHO memperbaiki keadaan di Gaza memandangkan keganasan masih lagi berterusan. – KOSMO! ONLINE