fbpx

Tidak harus ada budaya selesa, anggap sudah sempurna- PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar (kanan) ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga JPM di Putrajaya tadi. - Foto oleh FAISOL MUSTAPA/ KOSMO!

PUTRAJAYA- Kumpulan perkhidmatan awam dinasihatkan supaya tidak mengamalkan budaya terlalu selesa dengan apa yang sudah dicapai dan berasa sempurna, sebaliknya perlu sentiasa membuka ruang bagi mendengar pandangan serta kritikan membina daripada pihak lain.

Susulan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setiap daripada mereka termasuk dirinya perlu mempunyai sikap sentiasa berusaha bagi mencapai kecemerlangan di mana merasakan masih ada ruang dan kelemahan untuk diperbaiki.

“Itu andaian bahawa tidak harus ada budaya keselesaan, anggap kita sempurna dan tiada benda untuk diperbetulkan.

“Dalam Islam ada tahap, kalau guna istilah sekarang (umpamanya) ‘strive for excellence’, kalau ada sikap kemanusiaan dan tawaduk bahawa masih ada ruang untuk diperbaiki, harus ada sedemikian termasuk saya.

“(Di mana) mencari ikhtiar baharu untuk selalu tingkatkan dan elakkan kelemahan kekurangan serta mencari jalan. Itu saya usulkan awal supaya budaya politik dan penjawat awam memberi ruang mendengar pandangan serta kritikan membina,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri Bagi Bulan Disember di sini tadi.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, asas agama, akhlak dan nilai adalah elemen utama yang perlu dipegang oleh setiap ahli politik dan penjawat awam bagi membina semula negara.

Katanya, ketiga-tiga elemen itu perlu diperkukuhkan dahulu barulah beralih kepada soal membina pertumbuhan ekonomi, menggerakkan transformasi digital dan program transisi tenaga.

Anwar berkata, jika nilai diabaikan maka semua usaha membina negara itu akan ketinggalan dan ia harus dikembangkan bersama-sama.

“Pertumbuhan ekonomi, tranformasi digital dan transisi tenaga, itu semua penting. Kalau tidak kita bicara ini tentang nilai dan tidak lakukan kerja maka kita akan ketinggalan.

“Jadi, kita harus kembangkan kedua-duanya dan mendasari itu semua adalah sistem nilai. Nilai itu juga harus dimulakan daripada peribadi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI