GEORGE TOWN – Pulau Pinang mencatatkan jumlah pelaburan yang membanggakan iaitu sebanyak RM44.9 bilion merentasi pelbagai sektor, merangkumi sektor pembuatan, perkhidmatan dan sektor utama setakat suku ketiga tahun ini (Januari hingga September).
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ia didorong oleh aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) pembuatan yang diluluskan berjumlah RM35.8 bilion iaitu peningkatan 634 peratus dari tahun ke tahun.
“Pulau Pinang telah mengukuhkan kedudukannya sebagai penyumbang utama kepada FDI pembuatan negara, dengan menguasai 42 peratus bahagian dalam tempoh ini.
“Sumbangan utama datang dari negara seperti Belanda, Amerika Syarikat dan Singapura iaitu menyumbang 95 peratus dari pelaburan pembuatan di Pulau Pinang,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Ketua Menteri di sini, hari ini.
Menurut Kon Yeow, pada suku ketiga 2023, Pulau Pinang sekali lagi telah membuktikan minat pelaburnya dengan aliran masuk pelaburan sebanyak RM34.6 bilion dari sektor pembuatan.
“Pertumbuhan luar biasa ini didorong terutamanya oleh pelaburan langsung asing yang menyumbang sebanyak RM33.0 bilion atau 95 peratus daripada aliran masuk pelaburan pembuatan di Pulau Pinang dalam tempoh ini.
“Kemasukan FDI yang besar ini menggariskan keyakinan teguh pelabur antarabangsa terhadap potensi Pulau Pinang dan peluang lumayan yang ditawarkan,” ujarnya.
Tambahnya, pelabur domestik juga patut mendapat pengiktirafan di mana sokongan padu mereka telah memainkan peranan penting dalam memupuk landskap perindustrian negeri ini untuk berkembang pesat.
“Pelaburan langsung domestik (DDI) menyumbang RM1.6 bilion, membentuk baki 5 peratus daripada aliran masuk pelaburan pembuatan. – KOSMO! ONLINE