fbpx

Pelaburan di Malaysia perlu beri manfaat kepada bakat, perniagaan tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar (tengah) ketika mengadakan perbincangan lanjut bersama Pengerusi Geely, Eric Li (kanan Anwar) berhubung perancangan syarikat tersebut menjadikan Malaysia sebagai hub strategik mereka. - Foto FB ANWAR IBRAHIM

PETALING JAYA – Kerajaan terbuka dengan rancangan syarikat gergasi automotif, Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) untuk menjadikan Malaysia sebagai hab strategik kumpulan itu termasuk sebagai pengeluar kenderaan bagi tujuan eksport.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia dipilih kerana mempunyai tarikan tersendiri selain dilihat mampu memberi manfaat kepada Geely melibatkan hubungan perdagangan antarabangsa.

“Pagi tadi mengadakan perbincangan lanjut bersama Pengerusi Geely, Eric Li berhubung perancangan syarikat tersebut menjadikan Malaysia sebagai hab strategik mereka.

“Geely berkongsi bahawa antara tarikan yang mendorong mereka untuk membawa pelaburan ke negara ini adalah hasil dari manfaat hubungan perdagangan Malaysia dan negara seperti Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah selain daripada pemilikan kepentingan di dalam Proton,” katanya menerusi satu hantaran dimuat naik di Facebook rasmi beliau sebentar tadi.

Bagaimanapun, Anwar menekankan agar setiap pelaburan yang dijalankan di negara ini perlu memberi manfaat kepada bakat serta perniagaan tempatan.

“Saya tekankan supaya pelaburan yang dibuat di Malaysia perlu memberi manfaat kepada bakat dan perniagaan tempatan.

“Selain itu, kerajaan komited untuk memberi dukungan yang berkaitan dan yang diperlukan kepada pembangunan Automotive Hi-Tech Valley yang sedang giat diusahakan oleh Geely dan DRB-HICOM,” ujarnya.

Dalam majlis yang sama, Anwar turut berpeluang menyaksikan pertukaran Perjanjian Usahasama antara DRB-HICOM Berhad dan Geely serta Memorandum Persefahaman antara Altel Group Sdn. Bhd. dan GYMD Digital Technology Co., Ltd. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI