TUMPAT – Biarpun umurnya sudah 112 tahun, namun Siti Hawa Hussin tetap ‘gagah’, malah masih mampu bercerita mengenai zaman negara dijajah oleh Jepun kepada anak cucunya.
Biarpun penglihatannya sedikit kabur, wanita yang mempunyai 19 cucu itu masih cergas dan mampu menunaikan solat lima waktu.
Siti Hawa pernah berkahwin tujuh kali dan dikurniakan empat anak hasil perkongsian hidup dengan salah seorang daripada mereka.
Dia kini tinggal bersama anak bongsunya Ali Seme 58, dan di Kampung Kajang Sebidang, di sini.
Bercerita lanjut, Siti Hawa berkata, tiada rahsia perjalanan hidupnya cuma dia mengamalkan makan nasi tanpa disulami air bagi menjaga kesihatan.
Dia yang mempunyai 30 cicit secara berseloroh juga memberitahu tidak menolak untuk kembali mendirikan rumah tangga sekiranya ada pihak yang mahu melamarnya.
“Bekas suami saya sebelum ini, ada yang meninggal dan ada yang bercerai kerana kami tidak sehaluan,” katanya kelmarin.
Terdahulu, wakil Batuta Travel and Tours Sdn. Bhd., Muhammad Zuhri Ab.Ghani menyampaikan sumbangan barangan dapur kepada Siti Hawa.
Sementara itu, anak bongsu Siti Hawa, Ali berkata, walaupun ibunya berusia 112 tahun, wanita itu tetap menjaga makan minumnya selain makan ubat darah tinggi mengikut jadual.
“Dia masih boleh solat lima waktu sambil duduk. Biarpun ingatannya lemah tetapi boleh menceritakan sejarah di zaman negara dijajah oleh Jepun kepada anak cucunya,” ujarnya.