PETALING JAYA – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mendedahkan S. Logeswaran yang dilantik menjadi pengadil bagi aksi final Piala Malaysia adalah pengadil kelas ‘A’ saingan Liga Malaysia musim ini.
Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman melihat pemilihan Logeswaran adalah tepat berdasarkan persetujuan Jawatankuasa Pengadil FAM selain prestasi pengadil dari Selangor itu cukup baik.
“Logeswaran juga merupakan antara pengadil senior dalam saingan Liga Malaysia dengan beliau adalah Pengadil Kebangsaan Kategori A.
“Berhubung beberapa keputusan pada aksi final tersebut yang dipertikaikan, keputusan-keputusan yang dibuat itu adalah tepat selepas penelitian rakaman video dilakukan.
“Bagi insiden sepakan penalti yang diberikan untuk gol pertama JDT pada minit ke-6, pengadil berada pada kedudukan yang tepat untuk membuat keputusan dan memang ada sepakan dilakukan oleh pemain TFC ke atas pemain JDT dan ia juga berlaku dalam kawasan penalti.
“Bagi insiden sepakan penalti untuk gol penyamaan TFC pada minit ke-21 pula, kesalahan pemain JDT terhadap pemain TFC telah jelas dilihat dan dibantu oleh Pembantu Pengadil Tambahan 1,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam satu lagi isu berkaitan, FAM turut mengesahkan tidak menerima apa-apa maklumat berkaitan teguran yang diberikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FIFA, Pierluigi Collina terhadap mutu pengadilan pada aksi final tersebut dan apa yang tular di media sosial itu adalah berita atau kenyataan palsu. – KOSMO! ONLINE