LIPIS – Seorang lelaki maut warga Indonesia maut tertimbus tanah di tapak projek di Kampung Berembang, Padang Tengku, dekat sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 11.15 pagi, mangsa, Khairul Anam berusia 28 tahun berasal dari Jawa Timur, Indonesia meninggal dunia di tempat kejadian akibat gelunsuran tanah.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, mangsa yang baru lima bulan bekerja di tapak projek berkenaan tertimbus ketika turun ke dalam longkang kedalaman 2.5 meter.
“Tiba-tiba tanah mengelungsur lalu menimbus mangsa, manakala tiga pekerja lain yang berada di situ segera turun membantu dan mengorek tanah tertimbus lebih kurang 15 minit dan membawa mangsa naik ke atas.
“Pegawai perubatan mengesahkan mangsa meninggal dunia dan dihantar ke Unit Forensik Hospital Lipis untuk bedah siasat,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Komander operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Lipis, Ariffa Mamat berkata, mangsa yang tertimbus berjaya dikeluarkan oleh rakannya dengan menggunakan jentera jengkaut. – KOSMO! ONLINE