fbpx

Lebih RM173 juta kerugian direkodkan melibatkan kes tipu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) merekodkan RM173,339,234.73 jumlah keseluruhan kerugian melibatkan 15,133 panggilan yang diterima daripada pengadu berhubung kes penipuan dalam tempoh kira-kira setahun.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, jumlah itu direkodkan sejak NSRC ditubuhkan pada 12 Oktober 2022 hingga 30 November lalu.

“Daripada jumlah tersebut, wang yang berjaya disekat ialah sebanyak RM33,046,472.76 bersamaan dengan 19 peratus daripada nilai keseluruhan kerugian.

“Secara purata sebanyak 36 kes penipuan dilaporkan setiap hari kepada NSRC melibatkan kes penipuan yang berlaku dalam tempoh kurang 24 jam,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Ramli berkata, sejak Januari lalu, JSJK turut menerima 23 laporan polis berkenaan kes penyamaran sebagai pegawai NSRC melibatkan nilai kerugian RM720,495.20.

“Dalam kes ini, mangsa akan menerima panggilan daripada individu yang mendakwa pegawai NSRC. Individu tersebut kemudiannya memaklumkan kononnya pihak NSRC akan membatalkan nombor telefon mangsa ekoran terdapat aduan bahawa nombor telefon mangsa menghantar pautan haram serta mesej penipuan.

“Bagi tujuan siasatan, panggilan kemudiannya akan disambungkan kepada individu lain yang menyamar sebagai pegawai polis. Mangsa akan diarahkan mengikut segala arahan yang diberikan sehinggalah mengakibatkan mangsa membuat pindahan wang ke akaun yang diberikan.

“Kita mahu mengingatkan NSRC adalah pusat panggilan yang hanya menerima panggilan daripada orang ramai, berbentuk komunikasi sehala. NSRC tidak akan membuat panggilan kepada mana-mana individu. Justeru, sebarang panggilan yang mengaku dan pihak NSRC adalah satu penipuan,” katanya.

Sementara itu, Ramli berkata, JSJK membuka sebanyak 38,851 kertas siasatan atas pelbagai kesalahan jenayah komersil dengan nilai kerugian RM2,198,264,912.26 sejak 1 Januari hingga 8 Disember lalu.

Beliau berkata, jumlah kes tertinggi iaitu 35,554 atau 91.5 peratus adalah membabitkan kes penipuan yang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Daripada 35,554 kes penipuan disiasat, 85.5 peratus atau 33,235 kes adalah berkaitan penipuan dalam talian iaitu jenayah e-dagang sebanyak 11,173 kes.

“Ia diikuti dengan telekomunikasi (9,830); pelaburan tidak wujud (5,178); pinjaman tidak wujud (4,113); jenayah e-kewangan (2,041) dan ‘love scam’ (900),”katanya.

Beliau berkata, daripada keseluruhan 38,851 kertas siasatan yang dibuka, kes pecah amanah jenayah merekodkan sebanyak 1,162 kes atau tiga peratus; along (946); jenayah siber (840); pemalsuan (129), wang palsu (95) dan salah guna harta dengan curang (45).

Katanya, operasi yang dijalankan JSJK turut berjaya menahan seramai 2,811 individu merangkumi jenayah telekomunikasi (1,145 individu), jenayah e-kewangan (104) ‘love scam’ (167) dan jenayah e-dagang (1,395) bagi tempoh September hingga November lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI