ARAU – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menggalakkan institusi pendidikan tinggi (IPT) terus memperkasakan pembelajaran dalam alam pekerjaan atau work based learning (WBL) di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kaedah itu menjadi langkah terbaik dalam menyediakan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan berpengalaman.
“Melalui program WBL, pelajar bukan sahaja dapat meraih pengetahuan, malah mereka juga akan mendapat lebih pengalaman sebelum melangkah ke alam pekerjaan.
“Kejayaan pendekatan WBL ini bergantung kepada kerjasama rapat industri dan institusi sepertimana Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menjalankan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak industri,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Pusat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) UniMAP, di sini hari ini.
Menurut Mohamed Khaled, pendekatan diambil UniMAP dalam melaksanakan WBL bagi program ditawarkan itu memberi nilai tambah kepada pelajar TVET sehingga mencecah 97 peratus kadar kebolehpasaran graduannya baru-baru ini. – KOSMO! ONLINE