BANDAR GAZA – Tentera Rejim Zionis memaksa kira-kira dua juta orang awam untuk berpindah ke zon kemanusiaan bersaiz lebih kecil daripada Lapangan Terbang Heathrow London, ketika ia meneruskan serangan tanpa henti ke seluruh Semenanjung Gaza, lapor Perbadanan Penyiaran British (BBC) kelmarin.
Zon kemanusiaan Al-Mawasi di selatan Gaza, merupakan kawasan sempit yang terletak di tepi Laut Mediterranean dan mempunyai sejumlah kecil bangunan. Namun, sebahagiannya terdiri daripada bukit pasir dan tanah-tanah pertanian.
Tentera Israel menetapkan zon itu sebagai ‘zon selamat’ tetapi ia hanya seluas 8.5 kilometer persegi.
Seorang penduduk, Reem Abd Rabu berkata, dia menjalani kehidupan beberapa minggu lalu dengan tidur di atas tanah dan berkongsi khemah bersama empat ahli keluarga lain di kawasan tersebut.
Dia pertama kali pergi ke bandar Khan Yunis selepas melarikan diri dari utara Gaza. Namun, selepas beberapa rumah yang terletak berdekatan dibom, Reem merasakan bahawa dia perlu pergi ke tempat yang didakwa oleh askar Israel sebagai kawasan selamat.
Reem juga berpendapat keluarganya akan selamat daripada pengeboman tentera Israel, namun sejurus tiba, wanita itu mendapati bahawa zon tersebut mempunyai sedikit atau tiada langsung perkhidmatan asas.
“Air hanya dibekalkan sehari dalam masa 10 hari termasuk di bilik mandi. Bekalan elektrik juga tiada,” katanya sambil menambah, kawasan Al-Mawasi adalah lokasi terbiar dan bukan tempat untuk didiami manusia.
Tentera Israel menggesa orang awam untuk berpindah ke Al-Mawasi sekurang-kurangnya 15 kali menerusi platform media sosial dan kali terakhir gesaan itu dibuat adalah pada 2 Disember lalu.
“Tentera Israel mengarahkan penduduk Gaza berpindah ke zon kemanusiaan di kawasan Al-Mawasi di mana bantuan kemanusiaan antarabangsa akan diarahkan (ke zon itu) jika perlu,” kata pengumuman di platform X.
Dengan sedikit atau tiada langsung jaringan internet di Gaza, ia telah menyukarkan orang ramai untuk mencari kawasan selamat di bahagian lain wilayah itu.
Seorang doktor, Mona al-Astal yang juga telah melarikan diri ke Al-Mawasi berkata, dia sering terjaga sepanjang malam disebabkan bunyi bedilan peluru dan terpaksa meninggalkan Khan Yunis selepas rumah jirannya dibom.
Mona menggambarkan keadaan kekurangan air, elektrik dan bekalan lain di zon kemanusiaan itu selain terpaksa membeli khemah dan bekalan dengan harga AS$300 (RM1,399).
Tambahnya, dia pernah melihat sejumlah orang menceroboh gudang agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana mereka sangat lapar dan tidak mempunyai apa-apa untuk dimakan.
“Lebih teruk lagi, penyakit termasuk cacar air, jangkitan usus dan kutu telah merebak dalam kalangan kanak-kanak,” katanya.
Seorang lagi mangsa kekejaman Rejim Zionis, Mohammed Ghanem pula terpaksa melarikan diri dari kawasan berhampiran hospital Al-Shifa di utara Gaza di mana menurutnya, lebih 25 serangan berlaku di sebelah rumahnya.
Mohammed Ghanem pernah melihat beberapa kereta kebal tentera Israel kurang dari satu kilometer dari zon berkenaan selain serangan berlaku di kawasan hanya 500 meter dari zon kemanusiaan. – AGENSI