BALIK PULAU – Sebuah kapal persiaran yang sedang dibaiki musnah dalam satu kejadian kebakaran di Limbongan Batu Maung, Bayan Lepas di sini, petang tadi.
Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru, Rohaizal Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 2.44 petang tadi dan kemudiannya bergegas ke lokasi kebakaran.
Menurutnya, operasi memadamkan kebakaran turut mendapat bantuan dari BBP Jalan Perak dan Seri Balik Pulau.
“Kebakaran melibatkan keseluruhan kapal dengan anggaran peratusan kemusnahan adalah sebanyak 70 peratus.
“Tiada mangsa yang terlibat dalam kejadian tersebut. Kerja-kerja pemadaman menggunakan dua aliran salur bantu mula dengan dibantu balai berhampiran,” katanya di sini, sebentar tadi.
Sehingga pukul 4 petang ini, cuaca panas di daerah Barat Daya di sini mencecah bacaan 31 darjah Celcius. – KOSMO! ONLINE