MELAKA – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mengesan hampir 30 peratus daripada 5,500 pekerja sektor ekonomi gig di negeri ini belum berdaftar dan mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).
Pengarah Perkeso Melaka, Abd. Razak Omar berkata, setakat ini mereka yang mendaftar dan mencarum dengan SKSPS adalah seramai 3,800 orang.
Menurutnya, Perkeso akan bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi menjalankan penguatkuasaan untuk memastikan kira-kira 1,700 orang lagi didaftarkan di bawah SKSPS.
Tegasnya, pihaknya juga akan mengambil tindakan lebih tegas terhadap majikan atau penyedia perkhidmatan ekonomi gig yang gagal memastikan semua pekerja mereka dilindungi.
“Kerajaan telah mewajibkan semua pekerja di sektor ekonomi gig yang bekerja sendiri seperti menghantar barangan dan makanan, pemandu dan penunggang e-hailing mencarum di bawah SKSPS.
“Walaupun kerajaan memberi subsidi sebanyak 80 peratus dan mereka cuma perlu membayar RM42.70 setahun, tetapi masih ramai tidak ambil peduli,” katanya kepada pemberita selepas Penyampaian Faedah Skuad Perkeso Prihatin di Jalan Gajah Berang di sini, hari ini.
Pada program tersebut, Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong menyampaikan pencen ilat berjumlah RM490.82 dan Elaun Layanan Sentiasa (ELS) sebanyak RM500 kepada balu mendiang Ong Sai Guan yang meninggal dunia akibat kanser. – KOSMO! ONLINE