fbpx

Ingatkan kucing, rupanya merangkak untuk merogol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Seorang lelaki diperintah menjalani hukuman penjara 12 tahun dan lapan sebatan atas tiga kesalahan seksual termasuk merogol anak perempuan arwah rakannya yang ketika kejadian berusia 15 tahun.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Hadhariah Syed Ismail selepas membenarkan rayuan akhir perayu berusia 40 tahun itu agar hukuman penjara bagi ketiga-tiga pertuduhan berjalan serentak.

Dengan keputusan itu, beliau yang bersidang bersama-sama hakim Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin sekaligus mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar yang sebelum ini memerintahkan perayu menjalani hukuman penjara secara berasingan.

Terdahulu, Hakim Azmi dalam penghakiman bertulisnya yang diperoleh media hari ini menyatakan, Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar sepatutnya memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak.

“Ketiga-tiga pertuduhan melibatkan hanya seorang mangsa manakala masa dan tempat kejadian juga sama. Mahkamah Sesyen terkhilaf apabila memerintahkan hukuman berkuat kuasa secara berasingan.

“Ini kerana hakim bicara tidak menimbangkan prinsip `satu transaksi’ dan kesilapan itu mewajarkan panel ini campur tangan,” ujar Hakim Azmi dalam penghakiman bertarikh 8 Disember lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, perayu disabitkan mengugut untuk mencederakan mangsa sebelum merogolnya dan kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 376(2)(b) Kanun Keseksaan.

Sementara pertuduhan kedua dan ketiga masing-masing mengikut Seksyen 14(b) dan Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Sebelum ini, Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar mendapati perayu bersalah dan memerintahnya menjalani hukuman penjara 12 tahun dan empat sebatan bagi kesalahan merogol (pertuduhan pertama).

Dia turut dipenjarakan selama empat tahun dan dua sebatan bagi setiap kesalahan amang seksual fizikal (pertuduhan kedua dan ketiga).

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu berjalan secara berasingan bermula dari tarikh tangkap pada 6 Januari 2020.

Kemudian pada 19 Disember 2022, Mahkamah Tinggi Taiping menolak rayuan perayu dan mengekalkan sabitan manakala hukuman penjara dan sebatan berkuat kuasa secara berasingan.

Berdasarkan keterangan kes, mangsa sedang didatangi haid ketika dirogol di rumah datuknya di Sungai Siput, Perak kira-kira pukul 2 pagi pada 3 Januari 2020.

Fakta kes pendakwaan menunjukkan, ketika kejadian mangsa sedang tidur bersama-sama adik lelaki di ruang tamu rumah datuk mereka di Sungai Siput sebelum terjaga kerana terdengar bunyi yang disangkakan kucing.

Dia kemudian melihat seorang lelaki memakai penutup muka sedang merangkak ke arahnya sambil memegang sebilah pisau sebelum mengacukannya dan mengarahkan mangsa memasuki sebuah bilik.

“Kamu dengar cakap aku, kalau kamu tak dengar, aku tikam kamu,” demikian ugut perayu menyebabkan mangsa ketakutan dan bimbang nyawa mereka dua beradik terancam.

Fakta kes pendakwaan juga menyatakan, remaja itu mengecam suara Faizal Anuar dan tekaannya tepat bahawa perayu adalah rakan arwah bapanya selepas lelaki itu mendedahkan wajah. Mangsa mengenali perayu sejak bersekolah tadika.

Perayu kemudian memberitahu mangsa dia akan datang semula dan meminta remaja itu merahsiakan kejadian tersebut sebelum keluar melalui tingkap bilik berkenaan.

Sejurus selepas itu, mangsa mengejutkan adik lelakinya sambil menangis dan menceritakan dia dirogol selain turut menghubungi ibu angkatnya. Mangsa kemudian ditemani bapa saudaranya membuat laporan polis pada hari yang sama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI