fbpx

Hana aktif kongsi video masakan edisi kolej

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hana gemar membeli sendiri barang untuk dimasak, sebelum menjamu selera bersama rakan-rakannya di kolej.

BAGI menampung kos perbelanjaan di kampus, ramai mahasiswa memilih untuk memasak berbanding makan di kedai atau kafe.

Bukan saja menjimatkan, malah makanan yang dimasak juga lebih terjamin dari segi kebersihan bahan yang digunakan.

Tidak dinafikan, pelajar generasi Z ketika ini lebih gemar berkongsi teknik memasak mereka di dalam media sosial.

Lebih menarik, tidak sekadar berkongsi menu yang nampak sedap dan melazatkan, malah bahan-bahan digunakan juga ringkas serta mudah disediakan.

Begitu juga yang dilakukan oleh seorang pelajar yang tinggal kolej kediaman, Nurul Hana Norizan, 22, apabila dia memilih untuk memasak di biliknya setiap hari sejak Oktober 2021.

Menurut anak jati kelahiran Semenyih, Selangor itu, dia pada mulanya memuat naik kandungan mengenai masakan di TikTok sekadar suka-suka, tetapi tidak menyangka video-video tersebut disukai netizen.

“Saya mula duduk kolej sejak semester pertama ketika awal-awal negara dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Walaupun tak ada kelas secara fizikal, saya tetap duduk kolej sebab terhad untuk masuk kelas online jika berada di rumah,” kata pelajar Sarjana Muda Komunikasi Massa Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu saat membuka bicara bersama iGen.

Hana lebih gemar memasak di kolej berbanding membeli makanan di kedai atau kafe.

Gadis yang mesra disapa Hana itu berkata, bagaimanapun selepas memasuki semester lima (tahun ini), dia menolak untuk tinggal di asrama kerana mahu menyewa rumah sewa bersama seorang temannya.

“Kalau ikutkan, saya mula memasak di kolej dari awal semester dua. Mula-mula saya masak dengan kawan-kawan, namun tidak sangka video masak saya mendapat sambutan di TikTok.

“Sejak itu, saya pun rajin masak. Saya dapat banyak tajaan untuk buat video masakan edisi kolej (college edition).

“Daripada situlah, titik tolak minat saya dalam memasak,” katanya lagi.

Jelas anak kedua daripada lima beradik itu, dia lebih memilih untuk makan di bilik gara-gara tidak mahu turun makan di kafe kolej, sekali gus dapat berjimat.

Akui Hana, biarpun menginap berdua bersama seorang lagi rakan, namun dia tetap akan memasak dua hingga tiga jenis lauk untuk enam hingga lapan orang makan bagi tujuan review.

Berkongsi mengenai menu masakan, sebelum ini, dia gemar memasak menu ringkas dan menjimatkan seperti ikan sardin, telur dadar serta nasi goreng.

Bagaimanapun, sejak menerima tajaan daripada pelbagai pihak, dia mula bertukar-tukar dan mempelbagaikan jenis juadah.

“Apabila mula dapat sponsor (tajaan) pes makanan dan lain-lain, saya cuba masak makanan berat seperti nasi lemak, sambal ayam, kari ayam, oden, telur masak kicap, rendang ayam, tomyam dan banyak lagi.

“Saya banyak belajar sendiri dengan tengok resipi dekat Google atau YouTube.

“Saya mula terdetik hendak buat content (kandungan) dengan lebih kerap selepas video masakan mi ramen saya viral. Sejak itu, saya mula sedar rupanya ada orang tengok video saya.

“Selepas itu, semakin kerap saya muat naik video berupa kandungan masakan edisi kolej,” ujarnya yang kini mempunyai lebih daripada 120,000 pengikut di TikTok.

Akuinya, sejak aktif memasak, dia mampu menjana pendapatan hasil membuat review masakan dan makanan di TikTok.

Mengakhiri perkongsian, dia berbesar hati memberikan galakan kepada siswa lain untuk mengikut tunjuk ajar serta tip dikongsi sebagai panduan berjimat, asalkan mengutamakan keselamatan lebih-lebih lagi ketika di kolej.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI