PETALING JAYA – Semenanjung Gaza kini ibarat tanah perkuburan apabila lebih 17,500 penduduknya menjadi mangsa pembunuhan kejam rejim Israel sejak 17 Oktober lalu.
Menerusi perkongsian wartawan Palestin, Hani Abu Rezeq di Instagramnya, memaparkan keadaan kubur penduduk yang syahid dibina di merata-rata kawasan disebabkan tanah perkuburan di seluruh Gaza sudah penuh dan tidak mampu menampung kehadiran jasad baharu.
Katanya, jasad para syuhada terpaksa dikebumikan di tepi jalan raya, berhadapan pintu pasar, termasuk mana-mana kawasan yang mempunyai ruang dan tanah akan dijadikan sebagai tapak perkuburan.
Jelasnya, situasi genting di kawasan utara Gaza ketika ini menghalang penduduk membawa jasad ahli keluarga mereka ke kawasan perkuburan yang sepatutnya kerana bimbang ditembak tentera Israel sewaktu dalam perjalanan.
Sebelum ini, Hani mengakui, tiada lagi tempat selamat yang boleh dijadikan kawasan berlindung buat rakyat Palestin di Gaza apabila hampir seluruh kawasan itu sudah musnah dan dibom.
Hani juga memberitahu, terdapat puluhan ribu penduduk lagi yang masih terperangkap di bawah runtuhan dan status mereka sama ada hidup atau mati juga tidak dapat dipastikan.
Sementara itu, beberapa wartawan Palestin lain berkongsi gambar memaparkan sebahagian keluarga di Gaza terpaksa membuat keputusan menggali kubur yang besar di kawasan padang bola untuk mengebumikan semua penduduk yang terkorban. – KOSMO! ONLINE