LONDON – Liverpool menjadi peneraju baharu saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mencatat kemenangan dramatik 2-1 ke atas Crystal Palace pada perlawanan yang berlangsung di Selhurst Park malam kelmarin.
Bagaimanapun, The Reds terlebih dahulu ketinggalan 0-1 menerusi sepakan penalti Jean-Philippe Mateta sebelum mereka bangkit dengan dua gol hasil jaringan Mohamed Salah dan Harvey Elliott selepas Jordan Ayew dilayangkan kad merah.
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mengakui skuad kendaliannya itu sekadar bernasib baik untuk membawa pulang tiga mata memandangkan Palace mengawal permainan sehingga Ayew diarah keluar padang pada minit ke-75.
“Saya seorang pengurus yang sangat gembira pada ketika ini walaupun tahu kami hanya bernasib baik hari ini (kelmarin). Jika kemenangan hanya bergantung kepada prestasi, sesebuah pasukan tidak akan berjaya.
“Memang benar kami gagal bermain baik hari ini (kelmarin). Kami menampilkan aksi cukup mengecewakan sepanjang 75 minit sehingga pemain Palace dilayangkan kad merah, ia sangat membantu,” katanya.
Sementara itu, beliau juga gembira dengan pencapaian Salah yang berjaya menjaringkan gol ke-200 bersama Liverpool selain menghadiahkan jersi tertera nombor 200 kepada pemain antarabangsa Mesir itu.
“Ia pencapaian yang sangat menakjubkan. Semua pemain gembira untuk Salah apabila saya berikan jersi yang tertera nombor 200 di belakang, satu pencapaian yang cukup hebat untuk pemain istimewa sepertinya,” ujar Klopp. – AGENSI