fbpx

YEG Academy, Kolej Antarabangsa Inovatif lahirkan graduan dalam bidang pengurusan haji, umrah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Rahman (kanan) pada majlis pelancaran pengajian baharu YEG Academy dan Kolej Antarabangsa Inovatif di Cyberjaya baru-baru ini.

CYBERJAYA – Industri pengurusan haji dan umrah yang semakin mendapat tempat dalam kalangan syarikat tempatan telah memberi ruang dan peluang kepada pembangunan bakat-bakat baharu khususnya dalam bidang pengurusan selain keperluan terhadap mutawif dan mutawiffah.

Menyedari potensi tersebut YEG Academy dengan kerjasama Kolej Antarabangsa Inovatif telah melancarkan Program Based-Work Learning Diploma Pengurusan Haji dan Umrah serta Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Haji dan Umrah.

Buat masa ini, akademi tersebut telah melahirkan 169 graduan sulung daripada program tersebut sulung dengan majlis konvokesyennya adalah pada hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Antarabangsa Inovatif, Abdul Rahman Kasbi berkata, buat masa ini seramai 816 pelajar sedang mengikuti pengajian selama dua tahun setengah.

Menurut beliau, modul pendidikan di bawah diploma tersebut telah diinovasi khususnya untuk memastikan pelajar mendapat peluang untuk melakukan latihan industri di Mekah dan Madinah.

“Selain itu, pihak kolej juga telah memeterai perjanjian persetujuan dengan beberapa agensi pelancongan islamik untuk membolehkan pelajar mendapat latihan industri di syarikat-syarikat berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran pengajian tersebut di sini baru-baru ini.

Selain itu, Abdul Rahman berkata, pengajian tersebut khusus kepada pengurusan haji dan umrah tetapi bukan untuk menjadi mutawif atau mutawiffah, bagaimanapun dengan pengajian tersebut ia akan melengkapkan lagi ilmu yang ada kepada seseorang mutawif dan mutawiffah itu.

“Ia saling melengkapi kerana individu jurusan ini akan dapat belajar tentang pengurusan berkaitan haji dan umrah secara lebih mendalam dan untuk masa depan mereka boleh membuka sebuah agensi pengurusan dalam bidang ini,” jelasnya.

Selain itu, kolej itu juga telah melancarkan Sijil Profesional Haji dan Umrah secara online selama enam bulan kepada semua orang bukan sahaja graduan SPM tetapi juga profesional, pekerja swasta dan kerajaan yang berminat dalam bidang ini.

Program sijil yang telah mula dilancarkan pada tahun 2021 itu telah memberi ilmu kepada lebih 2,000 peserta dan ia kini telah meluaskan perkhidmatannya ke Indonesia dengan melibatkan kira-kira 58 peserta.  – KOSMO! ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI