PETALING JAYA -Datuk kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, menaruh keyakinan bahawa kematian cucu sulungnya itu bukannya disebabkan dendam.
Zahari Mohd. Reba, 55, berkata, perkara itu tidak mungkin berlaku kerana anak lelakinya, Zaim Ikhwan dan menantunya, Ismanira Abdul Manaf menetap di Pangsapuri Idaman, Damansara Damai di sini sejak tiga tahun lalu.
“Anak saya baru menetap di sini dalam dua tiga tahun lalu. Rutin harian mereka adalah pergi dan balik kerja, hanya jiran depan rumah yang kenal dia yang lain saya tidak tahu.
“Apa kaitan dendam dan sebagainya. Saya juga tidak kenal bahkan tidak menyangka perkara sebegini berlaku,” katanya ketika ditemui hari ini.
Bercerita lanjut mengenai Zayn Rayyan, lelaki itu memberitahu, arwah cucunya tidak pernah dibiarkan bersendirian, malah tidak mahu berenggang dengan ibunya.
“Cucu saya tidak akan pergi kemana-mana sebab rutin hariannya pergi dan ambil daripada sekolah dengan emak dia.
“Dia juga suka bermain di taman permainan bersebelahan dengan blok kediaman keluarganya.
“Dia tidak akan bersendirian dan memang seorang yang tidak boleh berenggang dengan emaknya,”ujarnya.
Zahari turut menafikan dakwaan bahawa cucunya itu didera sekali gus menyatakan Zayn Rayyan begitu rapat dengan keluarganya.
Tambah Zahari, kali terakhir dia bertemu kanak-kanak istimewa tersebut pada Sabtu lalu di kediamannya di Subang Bestari.
Ketika itu, Zayn Rayyan mengalami perubahan sikap seperti mudah mengamuk dan agresif.
“Ayah dia beritahu sudah tiga bulan Zayn kalau orang sakitkan hatinya, dia lagi agresif. Saya pun pernah digigit masa peluk dia walaupun niat sekadar bergurau,” katanya.
Justeru, Zahari memohon orang ramai agar tidak mencipta spekulasi atau kenyataan tidak sahih dan menunggu kenyataan daripada pihak polis. -KOSMO! ONLINE.