KUALA LUMPUR – “Mega, pertembungan vokal terbaik dua generasi penyanyi.
Itu antara respons positif netizen dalam media sosial yang terpukau dengan keserasian vokal Liza Hanim dan Aina Abdul dalam pusingan duet konsert akhir All Stars Gegar Vaganza (GV10).
Melantunkan lagu Terus Hidup nyanyian asal Aina Abdul sendiri, Axiata Arena ternyata riuh dengan teriakan penonton yang terus bersorak sepanjang persembahan duet tersebut.
Sementara itu, tinjauan Kosmo! Online dalam platform media sosial mendapati rata-rata memuji nyanyian Aina Abdul yang melengkapi Liza malah tidak langsung ada cubaan ‘overshadow’.
“Persembahan yang saling melengkapi, suara Liza yang lantang disokong lunaknya suara Aina, semuanya sempurna, Liza juara,” kata seorang netizen.
“Bagus Aina beri peluang Liza menyerlah, dengan kualiti persembahan sebegini, Liza Hanim juara, tiada kata, dia memang selayaknya bergelar juara,” komen netizen itu.
Meskipun persembahan duet di pusingan kedua itu tiada komen juri, namun jelas terlihat senyuman di wajah barisan juri seolah berpuas hati dengan duet tersebut yang diakhiri dengan ‘standing-ovation’ penonton.
Sepanjang 12 minggu konsert, Liza sentiasa konsisten malah beberapa sudah beberapa kali mendapat tempat pertama dalam konsert mingguan.— KOSMO! ONLINE