fbpx

Perkeso bakal heret penggodam ke muka pengadilan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sedang giat melakukan usaha pasca krisis demi memastikan kebajikan kira-kira 573,000 penerima faedah terjamin susulan serangan siber yang dialami pada pukul 7 malam, Sabtu lalu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed, hasil mesyuarat bersama MKN, Perkeso bersetuju untuk melakukan laporan polis kerana mendapati terdapatnya eleman jenayah komersial dalam serangan siber tersebut.

“Butiran lanjut berhubung data yang didakwa dicuri dan dipaparkan di laman sesawang gelap (dark web) bagaimanapun belum boleh diperincikan kerana tertakluk kepada proses siasatan.

“Jaminan saya, siapa pun penggodam yang menjadi dalang di sebalik serangan siber ini akan diheret ke muka pengadilan.

“Perkeso tidak akan berkompromi dalam soal perlindungan data peribadi yang dijadikan kepentingan utama demi negara,” katanya.

Tambah Mohammed Azman, perbincangan bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) telah dijalankan kelmarin.

Menurutnya, perbincangan bersama tiga pihak berkuasa itu bertujuan memperhalusi langkah-langkah diambil Perkeso, mencakupi empat perkara utama dalam menghadapi serangan siber tersebut.

“Empat perkara ini merangkumi pengaktifan Pelan Kesinambungan Perniagaan (BCP), pengukuhan sistem komunikasi dan teknologi maklumat (ICT) Perkeso, melakukan siasatan forensik dalaman serta pelaksanaan pelan komunikasi.

“Ketika ini, pihak berkuasa berpuas hati dengan langkah-langkah yang diambil, namun tindakan susulan dan berterusan akan terus dilaksana dengan kerjasama rapat pihak berkuasa dari semasa ke semasa,” katanya.

Tambahnya, Perkeso juga akan terus memperkukuh infrastruktur ICT dari semasa ke semasa, dengan panduan daripada NACSA, MKN dan agensi berkaitan.

Pihaknya juga bakal menjalankan amalan terbaik bagi memastikan tiada kelompongan sistem untuk dimanipulasi oleh anasir penggodam pada masa kini serta akan datang.

“Sementara itu, komitmen Perkeso ke arah menyalurkan bantuan dan faedah kepada kira-kira 573,000 penerima di seluruh negara setakat ini akan sentiasa diberi penekanan utama,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI