MINAT yang mendalam terhadap kiub rubik telah mendorong lelaki itu untuk mencabar dirinya mencari pelbagai jenis permainan tersebut dari seluruh dunia.
Lelaki Jerman, Florian Kastenmeier, 40, yang menetap di Bavaria kini merupakan pemilik rekod dunia bagi koleksi permainan teka-teki berputar (rotating puzzle) terbanyak dengan jumlah sebanyak 1,519 unit.
Menurutnya, kesemua permainan teka-teki berputar miliknya itu terdiri daripada pelbagai saiz dan bentuk meliputi aneka jenis antaranya kiub rubik tradisional hinggalah berbentuk bola, rumah dan juga buah-buahan.
“Semua koleksi ini saya simpan dalam satu ruangan khas di rumah yang kini semakin padat dengan pelbagai jenis dan bentuk dari seluruh dunia.
“Saya masih mencari objek paling unik dan menarik bersama isteri dan anak-anak walaupun pada hakikatnya kini ruang simpanan semakin terhad,” katanya dalam satu temu bual bersama media antarabangasa baru-baru ini.
Tambahnya, dia tidak menyangka minatnya yang turut mendapat sokongan keluarga dan rakan telah menjadikan dirinya sebagai pemegang Guinness World Records.
Obsesi Kastenmeier terhadap permainan teka-teki berputar itu bermula secara tidak sengaja.
Kongsinya, walaupun memiliki beberapa kiub rubik ketika muda, dia mengakui tidak dapat menyelesaikannya dan sering kehilangan minat dengan permainan tersebut.
Bagaimanapun, semuanya berubah sejak 16 tahun lalu apabila Kastenmeier menemui kiub rubik lama di loteng.
“Ia mungkin salah satu kiub lama yang saya abaikan semasa kecil dan telah ditinggalkan selama bertahun-tahun.
“Saya menggemari permainan teka-teki vintaj tahun 1980-an berbanding yang kontemporari kerana ia mempunyai kisah di sebaliknya, manakala versi baharu hanya produk pukal yang murah,” ujarnya.
Katanya lagi, antara koleksi permainan yang digemarinya ialah teka-teki berputar berbentuk bola tenis yang diberikan oleh juara tenis, Boris Becker semasa program throwback Jerman Die 80er.
Kastenmeier mempunyai pelbagai bentuk permainan teka-teki berputar dalam koleksinya daripada piramid hingga sfera.
Antara yang terbanyak adalah kiub rubik daripada pelbagai koleksi meliputi Mercedes, Disney, Harry Potter dan juga keluaran pertama yang dicipta di Hungary pada tahun 1977.
Banyak kiub milik Kastenmeier mempunyai latar belakang dan kualiti tersendiri yang sebahagian besar kiubnya diperoleh daripada peruncit dan pengumpul di seluruh dunia.
“Semua teka-teki berputar dalam koleksi saya daripada vintaj kepada yang terkini, mempunyai kisah, latar belakang dan anekdot yang lucu.
“Ia kadangkala mewakili kejadian sejarah dari abad sebelumnya seperti kiub diterima daripada seorang wanita pengumpul koleksi diraja di Britain yang merupakan simbol perkahwinan Lady Diana dan Raja Charles,” kongsinya.
Bercerita tentang kiub terawal miliknya, Kastenmeier memberitahu ia adalah kiub Ern rubik pertama yang direka daripada kayu dan diikat bersama klip kertas dan jalur elastik.
Prototaip terakhir kubus 3×3 yang disatukan dengan skru merupakan teka-teki kayu asli yang sangat popular pada tahun 1974.
Item yang luar biasa itu dikatakan pada masa itu dengan cepat menempa populariti walaupun dicipta berkemungkinan untuk melanggar undang-undang.
Selepas dikeluarkan di Hungary pada tahun 1977, rubik ‘Magic Cube’ menjadi permainan teka-teki paling diminati sekitar tahun 1980.
Meskipun mempunyai pelbagai koleksi permainan teka-teki, Kastenmeier mengakui bahawa dia bukan seorang pakar terpantas menyelesaikan kiub rubik (speedcuber) tetapi hanyalah seorang pengumpul.
Walaupun dia boleh menyelesaikan kiub rubik lebih cepat daripada orang kebiasaan, namun ia bukanlah minat utamanya.
Masa biasa terbaiknya untuk menyelesaikan satu kiub rubik ialah kira-kira 44 saat dan dia tidak perlu memecahkan setiap rekod kerana percaya itu bukan sasarannya.
Kastenmeier juga telah berikrar untuk mempertahankan gelarannya selama yang dia boleh walaupun sifat kompetitif komuniti pengumpul teka-teki berputar sangat tinggi di seluruh dunia.
“Ramai pengumpul mahu menempa nama dalam rekod dunia dan mereka juga sedang menambah koleksi untuk memintas jumlah semasa.
“Saya akan terus mencari kiub amat jarang dan paling menakjubkan di dunia apabila koleksi yang dimiliki ini terus berkembang,” ujarnya.