PETALING JAYA – Selepas lebih sedekad, komposer prolifik Datuk M. Nasir kembali bertarung di Separuh Akhir Muzik Muzik ke-38 (SFMM38) yang bakal memulakan cabaran pada 15 Disember ini.
Pencipta yang pernah menjulang empat trofi Anugerah Juara Lagu (AJL) itu mempertaruhkan Menyantun Kasih nyanyian Siti Nordiana yang bersaing dengan 29 lagu lain bagi merebut tempat ke pentas akhir 3 Mac 2024.
Penerbit Eksekutifnya, Muhd. Suffian Isa berkata, kemaraan komposer legenda seperti M. Nasir memberi nilai tambah kepada prestij pertandingan yang sememangnya dinantikan pemerhati muzik tanah air.
“Melihat senarai lagu membabitkan komposer, penulis lirik serta penyanyi bagi edisi ke-38 ini kita andaikan persaingan juga sengit seperti musim terdahulu.
“Namun kehadiran komposer otai seperti M. Nasir kita umpamakan sebagai bonus, begitu juga dengan Edry Abdul Halim bersama Korbankan Kita nyanyian kumpulannya Mojo.
“Penyanyi pula kita boleh nampak kemaraan penyanyi senior iaitu Ziana Zain, Liza Hanim dan Datin Alyah yang tentu sahaja menyerlahkan persaingan vokal, sekaligus sebagai pertembungan orang lama dan baharu,” katanya selepas pengumuman 30 lagu ke SFMM38, hari ini.
Kali terakhir komposer serta penyanyi bergelar sifu itu membawa pulang trofi AJL adalah pada 2011 menerusi Awan Nano yang disampaikan penyanyi Hafiz Suip.
Sementara itu, majlis sama mengumumkan penguasaan komposer berusia 29 tahun bersama lima lagu iaitu, Iqie Hugh yang ada di antaranya berkongsi ilham dengan pencipta senior, Omar K.
Antara gubahan mereka Ilusi (Marsha Milan ft Hazama) dan Tusuk (Shiha Zikir), selain itu adalah kolaborasi bersama John Jeeves dan Firdaus Rahmat bagi lagu Waktu duet Hasif Upin dengan Ziana Zain.
Bagi calon penyanyi pula, Khai Bahar nyata mara ke SFMM38 dengan bergaya bersama tiga dendangan, Oh! Wanita serta duet Kaulah Syurga nyanyian bersama Lia Aziz dan Selagi Ku Ada (Nabila Razali).
Manakala tiga penyanyi lain yang mempertaruhkan dua lagu adalah Shiha Zikir (Tusuk dan Kalam), Marsha Milan (Ilusi dan Darah) serta Hagiem Rusli (Aku Dan Perasaan dan Di Sebalik Rahsia).
Selain Hasif yang menjadi teman gandingan Ziana, penyanyi seperti Elica Paujin, Aisha Reno dan De Fam antara yang pertama kali mendapat pencalonan di peringkat SFMM.
Juara edisi Juara Lagu ke-37, Aina Abdul turut bertandingan dengan mempertaruhkan lagu Jangan Mati Rasa Itu yang juga ciptaannya sendiri.
Lagu-lagu yang layak ke peringkat separuh akhir nanti akan dipersembahkan secara langsung di TV3 pada 15, 16 dan 17 Disember ini.
SFMM38 yang dikendikan Izzue Islam dan Fiza Frizzy bakal dimeriahkan aksi penyanyi jemputan termasuk Norazniza Idris (episod pertama), Akim & The Majistret (episod kedua) serta Search (episod ketiga).
Peminat boleh mengundi lagu pilihan melalui Undian Lagu Pilihan Alha Alfa selaku penaja utama dengan mengimbar kod QR yang tertera sepanjang tiga hari sewaktu siaran langsung.
Untuk senarai penuh 30 lagu yang bakal merebut tiket ke Anugerah Juara Lagu ke-38, klik www.hibglam.com.my – KOSMO! ONLINE