KLUANG – Kadar tambang Shuttle Tebrau yang kini berharga kira-kira RM20 untuk perjalanan pergi balik ke Singapura akan diselaras kepada hanya RM10 menjelang pertengahan bulan Januari tahun hadapan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pada masa ini nilai tambang bagi perjalanan dari Johor Bahru ke Singapura adalah RM5 untuk pergi manakala SGD$5 untuk pulang ke Malaysia.
Katanya, perbincangan yang sedang dilakukan adalah memberikan nilai tambang RM5 untuk perjalanan pergi balik hanya kepada rakyat negara ini sahaja.
“Kira-kira 10,000 rakyat negara ini yang menggunakan khidmat perjalanan keretapi ini hampir setiap hari dan dengan penyelarasan harga tambang ini, mereka akan boleh menjimatkan kira-kira RM10 sehari.
“Penyelarasan harga tambang ini juga tidak memerlukan perbincangan dengan kerajaan Singapura kerana Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) adalah milik penuh kerajaan Malaysia,” katanya selepas hadir untuk merasmikan Konvensyen DAP Johor di sini hari ini.-KOSMO! ONLINE