fbpx

Boikot kawan, cebik mulut, sebar fitnah dikategori sebagai buli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Perbuatan memulau rakan, mencebik mulut dan menyebarkan fitnah merupakan antara tindak-tanduk yang boleh dikategorikan sebagai buli di sekolah.

Menurut Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli di Institusi Pendidikan Kementerian Pendidikan (KPM), salah laku buli dalam kalangan pelajar boleh membawa kepada kesalahan jenayah seperti yang disenaraikan dalam Peruntukan Undang-undang berkaitan Kesalahan Jenayah.

Menurut pekeliling sama, buli boleh ditakrifkan sebagai satu perbuatan yang dilakukan seorang atau beberapa orang menggunakan kekuatan atau kekerasan.

Perkara itu dilakukan untuk menakutkan, mengganggu, menghina atau menyakitkan orang lain melalui pelbagai kaedah, sama ada secara fizikal, mental atau emosi yang mengakibatkan kecederaan fizikal atau gangguan emosi kepada mangsa.

Pekeliling tersebut turut menjelaskan, salah laku buli boleh berlaku dalam pelbagai bentuk antaranya secara fizikal, lisan, bukan lisan dan buli siber.

“Buli fizikal melibatkan kekerasan atau keganasan fizikal ke atas tubuh badan dan harta benda mangsa.

“Contoh perlakuan fizikal adalah seperti memukul, menggigit, menyepak, mencubit, meludah, menendang, menumbuk, menampar atau mencuri.

“Selain itu, perbuatan menyembunyikan atau merosakkan harta benda mangsa atau memaksa mangsa melakukan perkara-perkara yang tidak diingini juga tergolong dalam buli fizikal,” jelasnya.

Sementara itu, buli secara lisan pula dilakukan secara percakapan, sama ada dengan mengejek, mengusik atau menghina, menyebarkan khabar angin atau fitnah, mengancam dan mengejek saiz badan orang lain (body-shaming).

“Selain itu, buli lisan juga melibatkan panggilan atau gelaran yang mengaibkan, memfitnah, mencarut, memaki, menghina, mengherdik, mempersenda dan pernyataan-pernyataan lisan yang lain,” katanya.

Tambahnya, buli secara bukan lisan pula adalah sejenis salah laku yang dilakukan dengan isyarat atau gaya bahasa badan, gerak tubuh dan mimik muka

“Contoh buli secara bukan lisan adalah seperti menjegilkan mata, senyum sinis dan mencebik mulut, menjelir lidah, isyarat lucah dan perbuatan-perbuatan lain bukan lisan yang seumpamanya.

“Ia juga boleh meniadi suatu bentuk serangan psikologi, iaitu melalui perbuatan seperti pemulauan (boikot) dan pengasingan,” katanya.

Sebelum ini Kosmo! melaporkan seorang remaja lelaki yang merupakan pelajr sebuah sekolah berasrama di ibu negara dilaporkan hilang baru-baru ini

ibu mangsa, Shuhada Jamaludin, 38, mendakwa, anaknya yang ditemui orang awam di pondok menunggu bas di hadapan Masjid Saidina Othman, Bandar Tun Razak dibuli dengan teruk.

Remaja itu kini mendapatkan rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia. Mangsa dikatakan nekad lari dari sekolah pada pukul 3 pagi, Khamis lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI