fbpx

Balik Malaysia, Azah Aziz ligat berlakon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZAH Aziz kembali untuk beberapa tahun di Kuala Lumpur kerana mengikut suami yang bertugas di sini.

SELAMA 20 tahun pelakon juga model cantik berkulit hitam manis itu berkelana di negara orang. Penghijrahan demi sebuah kehidupan bernama perkahwinan tersebut sekali gus menguburkan karier seninya saat nama sedang memuncak.

Sejak daripada itu, pemilik nama pentas Azah Aziz tidak lagi muncul menghiasi kaca televisyen apabila menjalani kehidupan sebagai seorang isteri sepenuh masa di Montreal, Kanada selepas berkahwin dengan warga Perancis, Daud Leroy Abdullah pada 7 Januari 1995.

Namun, sejak Julai lalu, Azah atau nama lengkapnya Norazah Aziz, 51, mengambil keputusan untuk kembali ke Malaysia bersama keluarga. Kali ini juga menuruti urusan kerja si suami.

Menurut Azah, kepulangannya ke tanah air bukanlah untuk jangka masa panjang, tetapi hanya untuk lima tahun seiring urusan kerja suaminya.

SETIAP hari, Azah akan berusaha untuk melakukan 10,000 langkah sebagai aktiviti bersenam untuk menjaga kesihatan dan bentuk tubuhnya.

Malah, jika diikutkan perancangan awal, dia dan juga keluarga memilih untuk menetap di Singapura, namun anak-anaknya mahu mereka sekeluarga tinggal di Kuala Lumpur kerana kagum dengan Malaysia.

“Keputusan balik ke Malaysia sebenarnya bukan untuk ‘for good’ (selamanya), tetapi untuk tempoh lima tahun sahaja kerana suami ada kerja di sini.

“Ikutkan kami bercadang untuk menetap di Singapura, tetapi anak-anak mahu tinggal di Malaysia. Sebenarnya mereka kagum dan menganggap Malaysia lebih ke hadapan (maju) berbanding Kanada daripada segi teknologi,” ujar pelakon yang popular menerusi drama Astana Indaman itu.

Ujar ibu kepada tiga orang cahaya mata itu, mungkin ramai yang beranggapan Kanada lebih maju berbanding Malaysia, tetapi sebenarnya tidak.

KEKAL ramping seperti anak dara, Azah Aziz kuat bersenam dan makan sebanyak hanya dua sudu nasi dalam setiap hidangan.

“Teknologi di Malaysia sebenarnya lebih maju berbanding di Kanada, Contohnya di sini sudah pun menggunakan aplikasi pembayaran tanpa tunai, di sana tiada.

“Jadi anak-anak teruja dan mengagumi kemajuan di Malaysia. Mereka gembira tinggal di sini,” katanya.

Lantas, keputusan kembali ke tanah air dimanfaatkan Azah untuk aktif dalam dunia hiburan yang dirindui, walaupun gementar beraksi di hadapan kamera.

Kata Azah, sudah 20 tahun dia meninggalkan dunia glamor dan menjadi suri rumah sepenuh masa. Bagaimanapun, saat kembali sibuk menjalani penggambaran drama, dia amat teruja melestarikan kerinduan selama ini.

“Sejak pulang ke Malaysia, saya dapat banyak tawaran berlakon drama. Tetapi saya tidak boleh ambil semua sebab penat. Maklumlah, dah berumur. Mula-mula masuk ke set penggambaran selepas 20 tahun tidak berlakon, sejujurnya memang saya gementar.

“Memang seronok bila dapat berjumpa semula dengan kawan-kawan lama. Ada dalam kalangan mereka yang dahulunya kami berlakon bersama, sekarang sudah pun jadi seorang penerbit dan pengarah.

“Saya terima tawaran berlakon pun disebabkan kawan-kawan. Bila mereka panggil, kenapa tidak,” ujarnya yang mendirikan rumah tangga pada usia awal 20-an itu.

Sebagai orang Melayu, Azah tetap makan nasi sebagai sumber karbohidrat, tetapi hanya untuk dua sudu setiap hidangan.

Memandangkan anak-anak juga sudah dewasa, maka dia tidak keberatan untuk kembali bekerja, selain turut mendapat sokongan daripada suami tercinta.

“Anak-anak pun sudah besar. Daripada saya duduk di rumah sahaja, lebih baik saya kembali berlakon. Suami pun galakkan untuk saya kembali aktif sebab dia tahu saya masih sayangkan dunia lakonan.

“Cara kerja (penggambaran) sekarang juga semakin mudah dan maju berbanding zaman dahulu. Untuk habiskan lima babak pun memakan masa sehingga ke awal pagi.

“Sekarang waktu penggambaran juga habis cepat.

“Sehari boleh selesaikan berbelas-belas babak. Semuanya sudah ‘upgrade’ baik dari segi lampu, kamera dan aspek teknikal lain. Jadi memudahkan kerja untuk orang seperti saya,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI