SEREMBAN – Beberapa kawasan di Port Dickson, Seremban dan Rembau terjejas susulan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi terpaksa dihentikan susulan masalah air mentah berbau diesel.
Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (Sains) berkata, itu kejadian kali kedua selepas 7 November lalu dan setakat pukul 10 pagi tadi, Loji Rawatan Air Sungai Linggi masih belum beroperasi kerana air mentah masih lagi berbau dengan bacaan dua ton.
Menurutnya, kawasan yang terjejas di daerah Port Dickson termasuklah sebahagian kawasan Batu 6 Jalan Pantai, Batu 4 Jalan Pantai, Jalan Sua Betong, Air Kuning dan sekitar kawasan pekan Port Dickson.
“Turut terlibat sekitar kawasan Lukut, Simpang Bukit Palong, Chuah, Bukit Pelandok sehingga Tanah Merah Site A,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu di Seremban, kawasan yang terjejas ialah Rantau, Jalan Sungai Gadut sehingga Taman Pinggiran Senawang.
“Manakala di Rembau melibatkan seluruh kawasan Kampung Kundur, Kampung Pedas Hilir, Taman Pedas Perdana, Taman Pinggiran Pedas, Taman Pedas Indah, Ulu Kanchong dan kawasan sekitar,”katanya.-KOSMO! ONLINE