ALOR SETAR – Seorang penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM) dari Palestin disahkan terbunuh dalam serangan Israel di Semenanjung Gaza, beberapa hari lalu.
Menurut UUM, Esam M. M. Elkahlout, 38, merupakan pelajar semester kelima Program Doktor Falsafah (PhD) jurusan Undang-Undang di universiti itu.
Timbalan Dekan Pusat Pengajian Undang-Undang UUM, Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab berkata, pihaknya baru mendapat berita berkenaan hari ini dan sedang menunggu maklumat lanjut mengenainya.
Sementara itu, Naib Canselor UUM, Prof Dr. Mohd. Foad Sakdan turut mengucapkan takziah kepada keluarga pelajar berkenaan.
“Saya ingin mengajak semua warga UUM dan rakyat negara ini terus berdoa agar peperangan di Palestin dapat dinoktahkan segera.
“Seluruh dunia wajar memberi peluang untuk penduduk Palestin dapat meneruskan pendidikan mereka ke peringkat lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Tambah Mohd. Foad, UUM akan terus membantu warga Palestin untuk memberikan peluang pendidikan dengan yuran yang sama dengan warganegara ini, selain pelbagai bentuk bantuan turut dihulurkan kepada mereka. – KOSMO! ONLINE