ALOR SETAR – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tidak menetapkan sebarang kuota bagi pengambilan juruterbang tempur dalam pasukan tersebut dalam kalangan wanita.
Menurut Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd. Asghar Khan Goriman Khan, walau bagaimanapun penglibatan pegawai serta kadet wanitanya sebagai juruterbang itu terhad ekoran kegagalan mereka menguasai kriteria tertentu.
“Secara asasnya ada pengambilan untuk juruterbang dalam TUDM. Kita ada pengambilan wanita, ada pegawai-pegawai atau kadet-kadet tetapi untuk menjadi juruterbang namun dia perlu lulus peperiksaan ketinggian dan juga kesihatan.
“Jadi peperiksaan kesihatan ini kadang-kadang sangat serius dan ada wanita tetapi ada yang gagal di dalam pemeriksaan kesihatan kerana perkara ini dilaksanakan sangat terperinci. Semuanya tidak ada diskriminasi, siapa yang layak dan menepati syarat dan lulus dalam latihan mereka diterima,” katanya dalam sidang akhbar di Kolej Tentera Udara (KTU) di sini hari.
Beliau berkata demikian selepas hadir pada Perbarisan Penyampaian Sayap Penerbangan Kursus Penerbangan Siri 84/22 dan Kursus Asas Penerbangan Helikopter Siri 64/22.
Dalam majlis tersebut seramai 26 pelatih terdiri daripda 18 juruterbang pesawat sayap kaku dan lapan juruterbang helikopter menerima sayap penerbangan masing-masing.
Menjelaskan lebih lanjut katanya, pengambilan pengawainya dalam kalangan wanita itu juga mengikut keperluan ditetapkan daripada Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
“Ada kemasukan dalam pengambilan akan datang dalam kalangan graduan dan pegawai wanita tetapi kesudahannya daripada latihan ketenteraan yang kita beri ini iaitu selama sembilan bulan di penghujung kita akan mula buat latihan untuk fizikal dan juga pemeriksaan kesihatan dan juga ketinggian.
“Kita perlu membuat pemilihan secara terperinci untuk calon itu. Tidak ada kekangan mereka tetapi mereka perlu lulus pemeriksaan kesihatan dan ujian ketinggian diperlukan untuk melayakkan dia meneruskan atau menghadiri latihan penerbangan,” katanya. – KOSMO! ONLINE