SEGAMAT – Kementerian Kesihatan (KKM) akan meneruskan dan mengekalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang sama di semua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) banjir bagi membendung penularan wabak Covid-19.
Menurut Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa trend peningkatan kes ketika ini belum pada tahap membimbangkan dan masih terkawal.
Katanya, kakitangan KKM juga akan ditempatkan di PPS dan sedia maklum mengenai SOP sedia ada.
“Ini termasuk menjalankan pemeriksaan kesihatan ke atas penduduk terjejas banjir terutama yang mempunyai gejala. Pihak KKM sememangnya telah bersiap siaga menghadapi musim monsun timur laut dan banjir yang dijangka berlaku bila-bila masa.
“Persediaan seperti kit ujian covid, termometer dan lain-lain seperti biasa jika ada kes kita akan buat isolasi dan kita akan kuarantin. SOP tetap sama InsyaAllah,” katanya ketika di temui di Program Felda Medoi AgroFest, Hari Kanak-Kanak Sedunia 2023 dan Program Saringan Kesihatan Di Pusat Ekonomi Digital (PEDI) di Felda Medoi, di sini hari ini.
Zaliha yang juga Ahli Parlimen Sekijang menegaskan peningkatan kes ketika ini hanya melibatkan kes-kes kecil dan gejala yang ringan. – KOSMO! ONLINE