SEBERANG PERAI – Seorang pemuda mengalami kecederaan parah di kepala apabila kereta dipandu terbabas lalu merempuh sebuah kedai makan di Jalan Semambu, Kubang Semang di sini, awal pagi tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Penanti, Azahari Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 1.27 pagi sebelum bergegas ke lokasi berkenaan.
Menurutnya, setibanya di tempat kejadian, pasukan mendapati kemalangan melibatkan sebuah kereta Proton Persona terbabas lalu melanggar sebuah premis makanan.
“Terdapat seorang mangsa berusia 30 tahun tersepit di bahagian pemandu. Tindakan anggota bomba membuat kerja-kerja penyelamatan bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit kurang tempoh 10 minit.
“Operasi menyelamat dilakukan menggunakan peralatan khas bagi membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya di sini, hari ini.
Ujarnya lagi, mangsa berjaya dikeluarkan pada pukul 1.52 pagi dalam keadaan cedera parah pada bahagian kepala sebelum dibawa ke Hospital Seberang Jaya. – KOSMO! ONLINE