LONDON – Juara dunia MotoGP, Marc Marquez bersedia untuk menerima kritikan sekiranya tindakannya untuk menyertai Ducati tidak berakhir dengan baik pada saingan MotoGP tahun depan.
Bagaimanapun, pelumba Sepanyol tersebut mengakui dia berbangga kerana sekurang-kurangnya telah mencuba untuk mencari jalan keluar berikutan aksi hambar bersama pasukan Repsol Honda musim 2023.
Marquez yang juga juara dunia enam kali memilih untuk meninggalkan Honda selepas 11 musim untuk menyertai skuad satelit Gresini Ducati bagi 2024 dan dikatakan telah berbelanja kira-kira €15 juta (RM88.18 juta) untuk menebus kontrak bersama Honda.
“Saya bersedia menerima semua kritikan jika gagal tampil dengan baik di Ducati. Sudah tentu kemungkinan kegagalan pasti ada, tetapi saya tetap berbangga kerana telah mencuba.
“Apabila saya bersara nanti, saya akan bersara dengan tenang kerana saya telah mencuba segala-galanya dalam kerjaya saya. Saya melakukan apa yang saya rasa adalah betul.
“Jika saya kekal di Honda dan saya tetap malu kerana tidak mencuba. Zon selesa saya adalah untuk kekal di Honda dan 95 peratus pelumba akan tinggal di Honda. Sebab apa? Kerana gaji besar, tiada tekanan dan hanya membangunkan jentera.
“Kekal memang mudah, tetapi saya tidak seperti ini. Saya seorang pemenang dan saya akan lakukan terbaik untuk berjuang di atas sana,” katanya.
Ketika kali pertama melakukan ujian bersama jentera Ducati pada 28 November lalu, Marquez tampil cemerlang di Valencia selepas mencatat sebagai empat pelumba terpantas. – AGENSI