SUNGAI PETANI – Kementerian Kesihatan (KKM) menyiasat dakwaan seorang pesakit meninggal dunia kerana tidak mendapat rawatan tepat di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini baru-baru ini.
HSAH dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, KKM mengambil maklum penyebaran dakwaan tersebut membabitkan pesakit, S. Chandran yang tular di media sosial pada kelmarin.
“Perkara ini dianggap serius dan siasatan akan dijalankan untuk memastikan sama ada dakwaan tersebut adalah benar atau tidak,” katanya.
Menurutnya, pengurusan hospital telah memulakan siasatan pada kelmarin dan memberi jaminan setiap aduan akan disiasat secara telus mengikut prosedur ditetapkan.
“Hasil siasatan hanya akan dimaklumkan kepada ahli keluarga atau waris pesakit bagi mengawal kerahsiaan maklumat,” ujarnya.
Kata kenyataan itu, KKM juga tidak akan berkompromi sekiranya didapati berlaku kecuaian semasa pesakit mendapat rawatan di fasiliti berkenaan.
“Adalah menjadi keutamaan KKM untuk sentiasa memastikan keselamatan pesakit dan perkhidmatan kepada pelanggan diberikan mengikut standard ditetapkan tanpa mengabaikan hak-hak pelanggan,” jelasnya.
KKM pada masa sama menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mendiang dan amat kesal dengan kejadian itu.
Terdahulu tular di media sosial seorang pesakit lelaki didakwa mengalami sakit jantung tetapi diberikan ubat gastrik sebelum meninggal dunia lima jam kemudian.
Mangsa berusia 51 tahun dikatakan dibawa ke HSAH oleh jiran setelah mengalami sesak nafas kira-kira pukul 12.45 tengah malam, 3 Disember lalu. – KOSMO! ONLINE