PETALING JAYA – Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan telah memberi penjelasan mengenai hukum mengenakan caj tawaran perkhidmatan ‘cash-out’ eMadani ke dalam akaun bank.
Menerusi satu kenyataan di Facebook, Pejabat Mufti menegaskan bahawa caj dan servis yang ditawarkan adalah termasuk dalam perbuatan riba dan diharamkan syarak.
“Tindakan tersebut berikutan kebimbangan mengenai potensi penggunaan wang hasil pertukaran tersebut untuk tujuan yang tidak patuh syariah,” katanya.
Menurutnya, nilai tambahan yang diperoleh melalui caj perkhidmatan tersebut wajib dikembalikan kepada pemiliknya.
“Jika pemiliknya tidak dapat dikenal pasti, maka wajib disalurkan kepada badan kebajikan atau baitulmal sebagai satu langkah memastikan ketelusan dan keadilan,” tambahnya.
Selain itu, perbuatan ‘cash-out’ ini juga dikira menyalahi terma dan syarat yang ditetapkan oleh pihak kerajaan.
“Keredaan si pemberi adalah berdasarkan syarat yang ditentukan. Sekiranya syarat tersebut dilanggar, maka hilang reda atas pemberian tersebut dan mengakibatkan pemberian itu tidak sah mahupun terbatal kerana berlaku tanpa keredaan.
“Perbuatan ini juga dianggap melanggar undang-undang yang mana perkara tersebut ditegah syarak tidak kira transaksi itu melibatkan riba atau tidak,” ujarnya.
Sebelum ini, tular di mana sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab menawarkan perkhidmatan servis untuk menukarkan kredit eMadani kepada wang tunai.
Susulan itu, pihak kerajaan telah menegaskan bahawa mereka akan menyekat akaun yang terlibat dalam aktiviti terbabit dan melucutkan hak kredit penerima eMadani. – KOSMO! ONLINE