KUALA KANGSAR – Graduan dari Uganda, Kakaire Abdu, 48, gembira kerana berpeluang melanjutkan pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di negara ini termasuk mempelajari bahasa Malaysia.
Beliau berada di Kuala Kangsar hampir dua tahun sebagai sebahagian daripada pengajiannya berkata, dirinya seronok semasa tinggal di bandar itu kerana layanan masyarakat setempat dan pilihan makanan yang sedap.
“Di Kuala Kangsar masyarakat dan makanan di sini sangat menarik. Saya juga belajar bercakap bahasa Melayu. Saya sangat gembira kerana hari ini mendapat PhD,” katanya.
Beliau merupakan antara empat graduan PhD antarabangsa diraikan dalam majlis Konvokesyen Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) ke-16 di sini hari ini, yang berkenan dihadiri oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk menyampaikan anugerah kepada para penerima.
Dua lagi graduan antarabangsa PhD yang turut diraikan dalam majlis konvokesyen itu juga dari Uganda manakala seorang dari Thailand.
Kakaire mendapat PhD Pengurusan dengan menghasilkan tesis bertajuk Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Komitmen Staf Akademik Di Institusi Pengajian Tinggi Di Uganda.
Beliau yang sudah berkahwin dan mempunyai empat orang anak berkata, sepanjang pengajian dirinya turut berulang-alik ke negara asalnya untuk menghasilkan tesis tersebut.
Dirinya bersyukur kerana tenaga pengajar memberi panduan yang sangat baik untuk membolehkan beliau menghabiskan pengajian.
“Ilmu yang diterima daripada pengajian ini akan digunakan saya untuk memberi khidmat kepada pembangunan negara saya,” katanya yang gembira apabila penganugerahan PhD itu disampaikan oleh Sultan Nazrin. – KOSMO! ONLINE