fbpx

Graduan MSU perlu sentiasa tambah ilmu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TENGKU Sarafudin Badlishah Ibni Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin (kiri) berkenan menyampaikan Anugerah Pingat Emas Canselor kepada Mikail Mazleen (kanan) pada Majlis Konvokesyen MSU ke-32 di MSU, Shah Alam hari ini- Foto: FARIZ RUSADIO

SHAH ALAM – Graduan Management and Science University (MSU) diminta untuk sentiasa menambah ilmu pengetahuan meskipun mereka sudah berada dalam dunia pekerjaan.

Raja Muda Kedah yang juga Canselor MSU, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin bertitah, dunia pekerjaan yang kini kian mencabar amat menuntut graduan untuk sentiasa mempelajari ilmu baharu jika perlu digunakan ketika melakukan kerja hakiki mereka.

“Meskipun sudah menamatkan pengajian tinggi, saya menasihati para graduan untuk terus bergelar ‘lifelong learner’ dengan membudayakan pembelajaran sepanjang hayat.

“Pengajian yang semakin mudah untuk diakses pada masa kini secara formal atau tidak formal dapat menjadikan graduan lebih kompetitif dan berdaya saing (dalam dunia pekerjaan),” titahnya dalam Majlis Konvokesyen MSU ke-32 di MSU, di sini hari ini.

Seramai 2,531 graduan daripada 118 buah program pengajian yang bergraduasi pada konvokesyen kali ini.

Baginda turut memuji MSU kerana melakukan transformasi terhadap sistem pengajiannya bagi memastikan graduan yang dihasilkan universiti berkenaan mengikut ketetapan yang diperlukan pihak syarikat, dengan harapan graduan universiti mudah mendapat pekerjaan.

“Saya juga berbangga dengan komitmen MSU memberikan pengukuhan kepada agenda keusahawanan dengan meneroka pendekatan baharu dengan mengalakkan ekosistem keusahawanan yang kondusif, terancang dan holistik,” titah baginda lagi.

Sementara itu, Presiden MSU, Prof. Tan Sri Dr. Mohd. Shukri Ab. Yajid berkata, MSU kini mahu memperkasakan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selaras dengan agenda kerajaan yang mahu memperkasakan aliran pembelajaran tersebut.

Justeru itu menurutnya, universiti merancang untuk bekerjasama dengan lebih banyak syarikat yang berkaitan TVET supaya pelajar MSU mendapat ilmu secara langsung bagi memantapkan skil mereka ketika dunia pekerjaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI